comscore
Tumpuan :
Politik

PRU15: Manifesto BN lebih rasional

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said meneruskan kempen dengan menyantuni masyarakat di Perkampungan Cina, Air Jernih hari ini.

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang menampilkan Pelan Amal dan Usaha (PADU) disifatkan rasional dan usaha terbaik digarapkan parti itu untuk rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, PADU mengikut kemampuan parti dan bukan sekadar menabur janji bulan dan bintang.

“Kita buat manifesto atas kemampuan kita, BN bukan berjanji bulan dan bintang tetapi setiap kali BN berjanji kepada rakyat BN akan tunaikan. Tidak seperti pembangkang yang hanya tahu memberi ‘gula-gula’ dan akhirnya rakyat dikencing berbau hancing”.

“Rakyat perlu sedar, selama BN menjadi kerajaan, BN tidak pernah mungkir janji. Tengok semula rekod ketika BN mentadbir negara, rakyat tidak pernah disishkan dan negara juga lebih maju dan berdaya saing,” katanya ketika ditemui media selepas menyantuni masyarakat Cina di Perkampungan Cina, Air Jernih, Kemasek hari ini.

Sementara itu, beliau turut meminta rakyat Terengganu memberi peluang kepada BN kembali mentadbir negeri itu.

Kemenangan BN ujarnya akan membawa pembangunan lebih mampan di Terengganu.

“Tahun depan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dibuat, sekiranya BN menang di lapan kerusi parlimen, sudah pasti kerajaan khususnya menteri-menteri akan turun padang mengumumkan projek-projek berksala besar yang akan dibuat di Terengganu. Sekali gus rakyat akan menerima manfaat dari pembangunan itu dan peluang pekerjaaan juga bertambah. Selain ekonomi penduduk juga dapat dikembangkan ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Ahmad Said berkata, amat rugi sekiranya rakyat menolak BN yang mempunyai pengalaman luas mentadbir negara berbanding pembangkang.

“Sudah-sudahlah terpedaya dengan janji pembangkang, jangan seperti mengharap guruh dilangit air tempayang dicurahkan,” katanya lagi.

Loading...
Terkini