comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Mastura pertikai janji 30 peratus calon wanita

FOTO: NSTP

KUALA KANGSAR: Penyandang kerusi parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid yang namanya digugurkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), tampil mempertikaikan janji pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) mengenai kuota calon daripada pergerakan wanita UMNO.

Perkara itu disuarakan Mastura yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) menerusi facebook malam tadi.

“Janji 30 peratus calon Wanita?? (Namun) Tak seorang pun Wanita UMNO dicalonkan untuk kerusi Parlimen di negeri Perak dan Negeri Sembilan,” tulisnya.

Mastura yang juga Pengerusi Sekretariat Profesional Wanita UMNO, sebelum ini dilihat berkongsi kenyataan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bersetuju meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada PRU-15.

Mastura, 61, antara beberapa nama dalam Kabinet kerajaan yang digugurkan sebagai calon PRU-15 sejurus selesai Pengumuman Calon dan Serah Watikah BN yang bakal bertanding dalamPRU-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam tadi.

Tempat Mastura selaku penyandang Parlimen Kuala Kangsar, diganti serta dipertaruhkan dengan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, di sini.

Sebelum ini, Mastura sukar dilihat untuk kekal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar pasca PRU-15 berikutan hubungan dingin antara beliau dengan UMNO Bahagian Kuala Kangsar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini, juga berkata semua calon dari UMNO yang dicadangkan bertanding adalah dicadangkan sendiri oleh Jawatankuasa UMNO Bahagian dan cadangan itu ditutup pada 15 Ogos lalu.

Pada Ogos lalu, Maslin Sham ketika ditanya pemberita, enggan mengulas mengenai hubungan dingin yang hangat diperkatakan antara UMNO Bahagian itu dengan Mastura.

Hubungan dingin itu hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat tempatan apabila hampir setiap program membabitkan rakyat di kawasan Kuala Kangsar yang dihadiri Mastura, tidak dihadiri Maslin Sham dan begitu juga sebaliknya.

Malah, difahamkan sewaktu Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang dirasmikan oleh Saarani di Dewan Chandan Putri, di sini, pada 22 Mei lalu, kelibat Mastura dikatakan tidak berada sebaris dengan tetamu kenamaan lain termasuk Maslin Sham.

Perselisihan antara Maslin dan Mastura dikatakan rentetan daripada tindakan Maslin Sham mewakili UMNO Bahagian menerusi kenyataan mengingatkan Mastura supaya mematuhi keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu adalah Perdana Menteri dari Perikatan Nasional (PN).

Hubungan Mastura dengan UMNO Bahagian Kuala Kangsar juga renggang apabila dikatakan susulan tindakan Mastura menukar cawangan beliau didaftarkan sebagai ahli UMNO ke UMNO Bahagian Rembau, Negeri Sembilan semasa 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Mastura dikatakan kemudiannya berpindah Bahagian semula dari UMNO Rembau ke UMNO Kuala Kangsar sewaktu PN menerajui pentadbiran negara yang bersamaan ketika beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas).

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar mula dimenangi Mastura atas tiket UMNO-BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016 susulan kematian suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei tahun sama.

Mastura yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan kemudian menang pada PRU-14 pada 2018 juga atas tiket BN apabila meraih 12,102 undi iaitu majoriti 731 undi menewaskan calon PKR, Dr Ahmad Termizi Ramli (11,371) serta calon PAS, Drs Khalil Idham Lim (6,583).

Maslin Sham sebelum ini turut dilaporkan berkata, UMNO Kuala Kangsar menitipkan harapan kepada pucuk pimpinan pencalonan bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan dua DUN di bawahnya iaitu DUN Bukit Chandan dan DUN Manong pada PRU-15 nanti mengutamakan anak jati tempatan. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini