comscore
Tumpuan :
Politik

PRU15: PN Pastikan Calon Benar-Benar Bersih, Kerjasama Dengan Pelbagai Agensi Periksa Latar Belakang

Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama Tan Sri Acryl Sani melawat gerai pameran pada Simposium Sains Forensik Kebangsaan Untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) 2022 di Maktab PDRM, Cheras.

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak akan meletakkan calon yang bermasalah dan mempunyai kes mahkamah, untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Justeru, beliau menjelaskan, PN akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan beberapa agensi berkaitan, termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), antara lain bertujuan memeriksa latar belakang calon bagi memastikan rekod mereka bersih daripada sebarang kes jenayah.

“PN tidak akan membiarkan mereka (individu bermasalah) menjadi calon. Tengok parti lain, adakah mereka akan mengikut cara sama.

“Kita mahu calon yang benar-benar bersih. Oleh itu, kita bukan hanya akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa untuk memeriksa latar belakang calon bagi memastikan mereka tidak terbabit kes mahkamah dan jenayah, tetapi juga dengan LHDN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Sains Forensik Kebangsaan Untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) Edisi Ketiga di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) selaku Penasihat NAFSLE Edisi Ketiga, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Mengulas lanjut, Hamzah menegaskan, pemilihan calon memiliki rekod bersih adalah penting kerana dapat membantu membentuk kerajaan yang stabil kelak.

“Biarlah pemimpin yang menjadi MP (Ahli Parlimen) nanti adalah bersih, barulah (kerajaan) stabil.

“Stabil adalah apabila wujud kumpulan bersih, tiada kes mahkamah, tidak boleh dipersoalkan dan tidak mempunyai (rekod) jenayah.

“Biarlah orang tidak boleh mempersoalkan integriti daripada dia menjadi calon hinggalah kembali kepada rakyat… biarlah bersih,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menolak cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan (PH), PN dan Barisan Nasional (BN) berdebat secara terbuka sempena PRU15 pula, Hamzah berkata, apa yang dilakukan biarlah tidak sampai menjatuhkan satu sama lain.

“Sebaik-baiknya tidak hukum-menghukum, tidak menjatuhkan dan tidak menimbulkan isu perkauman… bukan secara debat,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini