comscore
Tumpuan :
Politik

PRU15: Saya masih boleh bertanding, dakwaan Teresa tidak tepat – Jamal

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, mendakwa beliau layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berikutan dirinya masih belum dikenakan perintah kebankrapan selaras dengan Akta Insolvensi 1967.

Jamal yang dinamakan Barisan Nasional (BN) sebagai calon di Sungai Besar berkata, peluangnya untuk bertanding hanya akan hilang selepas perintah kebankrapan dibuat dan semua rayuannya gagal.

Atas dasar itu Jamal berkata, gesaan penyandang Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonan beliau atas dakwaan prosiding kebankrapan sudahpun difailkan terhadapnya adalah wajar ditolak sama sekali dan bersifat salah.

“Dakwaan Teresa adalah tidak tepat dan mengelirukan di mana melalui Akta Insolvensi 1967, seperti yang dinasihat peguamcara saya, Rejinder Singh, beliau menyatakan yang saya masih belum dibuat sebarang perintah kebankrapan.

“Saya menyanggah dengan tegasnya dakwaan Teresa bahawa prosiding kebankrapan sudahpun bermula pada 30 Ogos, ini kerana pengurusan kes pertama prosiding kebankrapan hanya bermula dan dijalankan pada 30 November dimana peguamcara saya akan mencabar tindakan kebankrapan ini.

“Sehubungan itu, kelayakan saya sebagai calon pilihan raya masih lagi sah pada waktu penamaan calon dan pengundian sehinggalah satu perintah kebankrapan dibuat dan semua rayuan dilupuskan,” katanya melalui satu kenyataan.

Sebelum ini, Teresa melalui pembantunya menghantar surat bantahan kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berhubung penamaan Jamal sebagai calon BN di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Teresa dilaporkan mendakwa, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu belum menyelesaikan syarat penghakiman dalam saman difailkan terhadapnya yang berkemungkinan menyebabkan pengisytiharan muflis.

Pada masa sama, Jamal berkata, beliau ketika ini sedang merayu ke Mahkamah Rayuan Malaysia (No. Rayuan :W-02(W)-1573-08/2022) berkenaan ganti rugi yang diperolehi Teresa melalui penghakiman Mahkamah Tinggi bertarikh 26 Julai lalu.

Beliau berkata, pihaknya percaya rayuannya adalah bermerit dan gantirugi yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi itu kelak akan diketepikan setelah rayuannya didengar.

“Bagi pengetahuan semua, peguamcara saya sudahpun berhubung dengan peguamcara Teresa mengenai serahan secara kendiri mereka kepada saya mengenai notis kebankrapan supaya ia dibuat pada 08 November lalu.

“Oleh itu gesaan Teresa supaya SPR menolak pencalonan saya adalah sama sekali pra matang, sia-sia dan salah.

“Saya menegaskan di sini tindakan Teresa adalah perbuatan terdesak beliau sebagai cubaan untuk mengagalkan saya dari menjadi calon pilihan raya walaupun faktanya amat jelas yang saya belum lagi dikenakan sebarang perintah kebankrapan,” katanya.

Loading...
Terkini