comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Terkejut tiba-tiba kena ganti Ustaz Kazim

Ketua Penerangan Pemuda UMNO. Bahagian Larut Mohd Shafiq Fhadly Mahmud di Calonkan mewakili Barisan di Parlimen Larut PRU-15 menggantikan Pendakwa Bebas Datuk Mohd Kazim Elias. FOTO: NSTP /L.MANIMARAN

IPOH: Terkejut diumum menggantikan posisi Datuk Mohd Kazim Elias bagi kerusi BN Parlimen Larut, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud, bagaimanapun tidak gentar menentang Datuk Seri Hamzah Zainudin, selaku penyandang kawasan itu.

Calon muda yang juga jurutera petroleum itu, berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai pencalonan itu selepas dihubungi pada jam kira-kira 7 pagi tadi berikutan Ustaz Kazim Elias menarik diri.

Katanya, pada awalnya beliau dimaklumkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah di dalam Parlimen Larut.

“Sedikit sebanyak sebenarnya saya terkejut dengan pengumuman ini, bagaimanapun saya sudah bersedia berhadapan dengan tidak kira siapapun kerana yang pastinya kita membawa semangat dan roh UMNO dan BN.

“Walaupun mungkin saya dianggap calon bukan pilihan tetapi itu tidak bermakna akan menggentarkan atau mencalarkan semangat saya kerana membawa semangat jentera BN di Larut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon BN di Hotel Casuarina Meru

Mohd Shafiq Fhadly itu berkata, baginya apa yang dipertaruhkan BN bukan hanya dirinya tetapi mempertaruhkan maruah UMNO BN di Larut.

“Ini kerana pada PRU-14 dahulu rakyat sudah memberi mandat kepada BN untuk memenangi kerusi Parlimen Larut tetapi malangnya rakyat Larut dikhianati.

“Jadi, inilah peluang dan masanya kita membuktikan semula bahawa rakyat Larut masih lagi bersama BN, Insya Allah saya yakin dan percaya ketika pilihan raya nanti, rakyat di Larut akan menentukan bahawa BN adalah parti terbaik bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shafiq Fhadly yang juga Ketua Koordinasi BN Perak, berkata beliau meminta rakyat di Larut memberi peluang kepadanya membuktikan diri mampu menggalas sebagai Ahli Parlimen di situ.

“Saya merayu kepada seluruh rakyat di Larut berilah peluang kepada saya untuk membuktikan selaku anak tempatan, calon muda dapat bersama-sama membawa cita-cita dan impian rakyat untuk merubah Larut ke arah lebih hebat Insya Allah,” katanya

Hari ini media melaporkan, pendakwah bebas, Mohd Kazim menarik diri daripada bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut pada PRU-15 walaupun namanya diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini