comscore
Tumpuan :
Politik

PRU15: Tik Tok pilihan calon BN Setiu dekati pengundi muda.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

SETIU: Tidak mahu ketinggalan dengan trend semasa, calon BN bagi Kerusi Parlimen Setiu, Datuk Abdul Rahman Mat Yasin memilih aplikasi TikTok sebagai medium untuk mendekati pengundi khususnya golongan muda dalam kempennya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Abdul Rahman atau mesra disapa abang Man, lebih 4 juta rakyat negara ini menggunakan aplikasi TikTok menyebabkan beliau terpanggil untuk menggunakan platform itu.

Bukan sahaja cara muat naiknya mudah, bahkan penyampaian mesej baginya, lebih senang difahami.

“Saya melihat TikTok sebagai tempat di mana orang ramai boleh menyatakan pendapat politik yang tulen, namun tetap menghormati dan tidak terlibat dalam banyak isu kebencian negatif dan memecahbelahkan yang berleluasa di platform lain,” katanya ketika ditemui dalam siri jelajah kempen di Parlimen Setiu.

“Berdasarkan pengalaman yang saya ada, saya yakin akan membawa perubahan besar untuk rakyat di Parlimen Setiu. Pengundi muda juga mahu BN kembali menjadi kubu kuat di sini.

“Bagi memberi penghargaan kepada golongan muda, Saya telah melantik Ketua Pemuda Umno Bahagian Setiu, Ahmad Abaidillah Ariffin sebagai wakil calon yang bertindak menguruskan perjalanan kempen saya sepanjang tempoh berkempen. Ini adalah satu pembeharuan yang dilaksanakan oleh  BN Setiu untuk mendekatkan golongan muda dengan saya sebagai calon”, ujarnya.


Begitu pun kempen dari rumah ke rumah akan tetap dilakukan kerana cara itu lebih berkesan dalam meraih undi.

“Jentera parti telah merangka program kempen turun padang ke setiap kawasan di Parlimen Setiu dan bertemu empat mata dengan semua pengundi di sini,”katanya.

Kerusi Parlimen Setiu sebelum ini antara kubu kuat BN, tetapi telah jatuh ke tangan Pas berikutan krisis politik pada pada PRU-14 lalu.

Abdul Rahman akan berhadapan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Ngah; calon Pas, Shaharizukirnain Abdul Kadir dan Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Wan Adnan Wan Ali.

Loading...
Terkini