comscore
Tumpuan :
Politik

PRU15: Tun M dakwa negara akan hadapi lebih banyak masalah jika ditadbir PAS

SUNGAI PETANI: Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa negara akan berdepan lebih banyak masalah sekiranya rakyat memberi peluang kepada PAS untuk memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau mendakwa, ini kerana ada pemimpin PAS yang cenderung memperalatkan agama untuk tujuan politik mereka.

“Saya fikir mereka (PAS) akan memperalat agama lebih banyak lagi (jika menang PRU15), ketika ini pun mereka sudah banyak memperalatkan agama.

“Jika mereka menang, kita akan menghadapi lebih banyak masalah kerana ada (pemimpin) yang ekstrem tetapi mereka yang mengikut ajaran Islam betul, tidak ada masalah,” dakwanya pada sidang media selepas Rapat Umum Sayang Bangsa dan Negara, di sini, malam tadi.

Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilaporkan meminta Perikatan Nasional (PN) diberi peluang mentadbir negara selama satu penggal berdasarkan rekod prestasi gabungan parti itu yang bersih daripada sebarang salah laku.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi, mendakwa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddn Yassin juga kini didapati memperalatkan agama apabila bergabung dengan PAS.

“Saya kenal Muhyiddin… dulu dia tak baca doa, sekarang dalam pilihan raya, baca doa panjang-panjang sejak berkawan dengan PAS.

“Kita kena hormat agama, jangan peralat agama, tetapi mereka peralat agama kononnya mereka terlatih dalam bidang agama,” dakwanya.

Mengenai kemungkinan GTA akan bergabung bersama parti lain selepas PRU-15 pula, Pengerusi PEJUANG itu menegaskan, pihaknya tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), PN dan Pakatan Harapan (PH).

“Kita mungkin lebih baik menjadi pembangkang daripada bekerjasama dengan (didakwa) ‘penyangak’. Kita ada pilihan lain (untuk kerjasama) tetapi bukan BN, PN atau PH.

“Kita ada parti dari Sabah dan Sarawak selain parti di Semenanjung, kita juga ada calon Bebas lain yang boleh bekerjasama jika mencapai standard kita,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini