comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Tun M Pertahan Langkawi, Mukhriz Di Jerlun

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini mengumumkan lapan calon dari Parti Pejuang Tanah air (PEJUANG) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata selain beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi, turut mempertahankan kerusi masing-masing adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Jerlun dan Datuk Amiruddin Hamzah di Kubang Pasu.

Sementara itu, ADUN Batang Kali, Harumaini Omar dipertaruhkan di kerusi Parlimen Hulu Selangor manakala ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli diletakkan di kerusi Parlimen Kuala Selangor.

Tiga lagi calon adalah Ketua Pejuanita, Datin Che Asmah Ibrahim (Sepang), Ketua PEJUANG Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa) dan Ketua PEJUANG Perak, Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah).

Tun Dr Mahathir berkata, GTA yang bertanding dengan logo dan bendera PEJUANG telah mengenal pasti lebih 100 kerusi Parlimen yang akan ditandingi setakat ini.

“Kita belum lagi tentukan calon dari Johor dan Sabah, kalau kita dapat nama (calon) dari Johor dan Sabah kemungkinan kita akan bertanding lebih daripada 120 kerusi. Kita akan putuskan (keseluruhan senarai calon) pada 2 November ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PEJUANG di sini hari ini.

GTA dianggotai PEJUANG, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Mengulas mengenai kerjasama GTA dengan Perikatan Nasional (PN) menghadapi PRU-15, bekas Perdana Menteri itu berkata, rundingan masih berjalan namun terdapat masalah yang belum dimuktamadkan.

“Kita setuju untuk adakan apa jenis kerjasama, kita tentulah sesuaikan calon itu supaya tidak bertindih antara calon PEJUANG dgn PN, namun demikian, kita sudah tentukan beberapa kawasan dan calon bertanding.

“Rundingan dengan PN melibatkan tiga pihak di GTA antaranya saya, Datuk Seri Mukhriz dan Datuk Marzuki,” katanya.

Beliau berkata, di pihak PN pula melibatkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Bendahari PN, Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar dan tidak melibatkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tun Dr Mahathir turut memberi masa dua hari kepada PN untuk memuktamadkan kerjasama dengan GTA.

 

Loading...
Terkini