comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: ‘Zahida dipilih sebab dilihat boleh menang’

Foto Datuk Zahida Zarik Khan

KANGAR: Keputusan meletakkan Datuk Zahida Zarik Khan, meskipun sebagai calon ‘payung terjun’ untuk bertanding di kerusi Parlimen Padang Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), dibuat atas dasar Ketua Puteri UMNO itu dipercayai mampu menghadiahkan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man, menjelaskan tiada wujud situasi tidak normal apabila mempertaruhkan seseorang calon bukan berasal atau terbabit suatu bahagian parti itu, seperti Zahida yang dipilih membawa cabaran bersaing menggantikan penyandang kerusi itu, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

“Keputusan itu dibuat atas dasar calon ini dilihat boleh menang. Kita pada peringkat akar umbi akan bekerja untuk memastikan kemenangan lebih besar memihak kepada calon ini.

“Dalam hal ini, kita juga mengambil kira konsensus suara akar umbi di seluruh negara. Inilah cara BN melihat dan menilai keadaan.

“Kita tidak hanya melihat sesuatu itu secara spesifik, sebaliknya melihat secara keseluruhan. Jadi, kita melihat bukan saja pada peringkat Parlimen atau negeri itu tetapi keseluruhan, dan ini bukan sesuatu yang baru berlaku,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan senarai 18 calon BN Perlis yang akan bertanding pada PRU15, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, sebelum ini juga banyak berlaku calon datang dari kawasan lain untuk bertanding di suatu kawasan lain.

“Sebagai contoh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pernah bertanding di Kelantan berkali-kali, selain di Permatang Pauh, Kuala Kedah dan Kota Raja pada PRU sebelum ini. Jadi, apa ‘abnormal’ (tidak normal) dengan calon BN?

“Apa dilakukan BN ini tidaklah ‘sehebat’ pertukaran tempat bertanding oleh parti lain. Malah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini di Port Dickson dan kali ini pula akan bertanding di Parlimen Tambun.

Begitu juga Datuk Seri (Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) ‘move around’ (bertukar kawasan bertanding). Saya rasa itu bukan sesuatu yang ganjil, dan ia boleh berlaku pada apa jua parti.”Lim Kit Siang juga pernah berbuat begitu, berapa kali dia menjelajah dan bertanding… menang di Perak, bertanding di Pulau Pinang, Melaka dan Johor.

Malah di Perlis, kita ada calon PKR pada PRU lalu yang kita tidak kenal datang bertanding di DUN (Dewan Undangan Negeri) Indera Kayangan.

Sebelum itu, YB Chan Ming Kai bertanding di DUN Indera Kayangan dan kemudian berpindah ke Parlimen Alor Setar.

Jadi, ini adalah normal,” katanya.Namun, Azlan menegaskan, BN bukan cuba mengikut formula atau langkah pembangkang, sebaliknya percaturan dilakukan itu adalah formula kemenangan untuk BN.”Kita bukan mengikut formula pembangkang. Kita mengikut formula kemenangan kita. Apa yang saya terangkan tadi ialah proses ini bukan sesuatu yang tidak normal atau ‘abnormal’ kerana ia berlaku pada mana-mana parti saja, dan BN tidak terkecuali,” katanya.

Terdahulu, Azlan menyampai watikah pencalonan daripada BN Perlis kepada 15 calon kerusi DUN dan dua daripada tiga calon Parlimen yang akan bertanding pada PRU kali ini.

Tiga muka baharu yang akan bertanding mewakili BN pada peringkat Parlimen ialah bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman di Arau; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Fathul Bari Mat Jahya (Kangar) dan Zahida.

Pada PRU14, BN Perlis berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala PKR pula tiga kerusi dan PAS (dua). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini