comscore
Tumpuan :
Politik

Puteri buat ‘post mortem’ cari punca penolakan orang muda

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Puteri UMNO akan melakukan ‘post mortem’ dalam tempoh terdekat bagi mengenal pasti punca sebenar golongan muda menolak calon daripada sayap parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia berikutan kekalahan semua lima calon daripada Puteri UMNO dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 membabitkan tiga kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata post mortem itu penting bagi memastikan Puteri UMNO kekal relevan, sekali gus menjadi tarikan untuk pengundi muda bersama UMNO pada PRU16.

“Bagi memastikan Puteri UMNO terus relevan kepada anak muda, Puteri akan lakukan ‘post mortem’ khusus untuk mengkaji apakah faktor sebenar yang menjadi penyebab anak muda tidak bersama kita pada PRU15.

“Menerusinya, kita akan dapat mengenal pasti apakah faktor yang mempengaruhi trend pengundian golongan muda. Kita perlu kaji semula gerak kerja.

“Mungkin cara kerja kita kena berubah, mungkin pendekatan kita kena berubah selepas ini. Kita tidak boleh gunakan konsep dan kaedah yang sama lagi,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2022 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Zahida menggesa pimpinan UMNO menyediakan dana khas untuk disalurkan secara khusus bagi mereformasi media sosial parti itu supaya selaras dengan keadaan semasa dan setanding parti lawan.

Katanya, desakan supaya media sosial menjadi aspek utama parti itu kerap disuarakan pada setiap kali Perhimpunan Agung UMNO (PAU), terutama selepas BN kalah pada PRU14, namun ia tidak diendahkan.

“Setiap kali PAU, Puteri UMNO akan tekankan kepentingan media sosial menjadi urusan utama parti dan diambil berat.

“Media sosial mesti kita perkasakan, kita tak boleh lagi ketinggalan di media sosial. Kita perlu reformasi semula media sosial sedia ada dan ia perlu lebih fokus dan segmentasikan kandungan supaya terus kepada kumpulan sasar, bukan lagi secara rawak,” katanya.

Loading...
Terkini