comscore
Tumpuan :
Politik

Rafiq Bakal Umum Keluar BERSATU esok?

Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dijangka membuat pengumuman ‘mengejut’ mengenai kedudukannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam satu sidang media khas esok.

Meskipun tiada pengesahan rasmi mengenai kandungan sidang media berkenaan, namun ia dipercayai ada kaitan dengan desas-desus namanya tidak disenaraikan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Tangga Batu pada pilihan raya kali ini.

Sejak petang tadi tular dakwaan dalam kalangan individu tertentu mengatakan bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka itu akan keluar parti sekali gus melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden.

Sementara itu, Mohd Rafiq ketika dihubungi mengesahkan akan mengadakan satu sidang media petang esok.

“Saya hanya akan jelaskan segalanya menerusi satu sidang media petang esok,” katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung desas-desus itu.

Kerusi Parlimen Tangga Batu dikatakan menjadi rebutan antara PAS dan Bersatu yang sebelum ini disandang Rusnah Aluai daripada PKR yang telah diumum calon parti berkenaan pada PRU-15.

PAS dikatakan mahu meletakkan calonnya, Pesuruhjaya PAS Negeri, Zulkifli Ismail yang juga merupakan Yang di-Pertua PAS Kawasan Tangga Batu.

Susulan itu, timbul beberapa spekulasi mendakwa tindakan PAS yang juga rakan sekutu Bersatu dalam PN kurang disenangi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu kerana turut mahu bertanding di kerusi berkenaan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, Mohd Rafiq yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dengan majoriti 2,076 undi.

Loading...
Terkini