comscore
Tumpuan :
Politik

Rafizi buat laporan terhadap pelakon Zul Huzaimy, Ketua Pemuda PAS

Rafizi Ramli. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, tampil membuat laporan polis berhubung ucapan pelakon Zul Huzaimy mengenai ‘kafir harbi’ dan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Sik, Kedah, yang mengatakan pengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata Rafizi membuat laporan terhadap kedua-dua individu terbabit di Balai Polis Ampang, jam 11.38 pagi tadi.

Katanya, antara isu kandungan laporan berkenaan adalah mengenai video kempen ceramah Ketua Pemuda PAS Sik, Shahiful Nasir yang menyatakan bahawa pengundi yang mengundi BN dan PH akan masuk neraka.

“Rafizi juga membuat laporan terhadap Zul Huzaimy yang menyatakan akan menyembelih orang ‘kafir harbi’.

“Rafizi memohon siasatan dijalankan ke atas isu ini dan berasakan kandungan video berkenaan boleh menyebabkan ketidaktenteraman orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, semakan mendapati satu kertas siasatan sudah dibuka terhadap kedua-dua kes yang dilaporkan Rafizi.

“Kertas siasatan terhadap Shahiful Nasir dibuat di Alor Setar, Kedah, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis terhadap Zul Huzaimy juga sudah dibuat di Chukai, Kemaman, Terengganu, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini