comscore
Tumpuan :
Politik

Rakyat Perlu Nilai Semula Prestasi Khidmat Wakil Rakyat – Datuk Seri Johari Abdul Ghani

Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap semasa sesi Concorde Club – The Klang Valley Fight di Galeri BBCC. (Foto: NSTP)

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November ini memerlukan calon yang berkredibiliti untuk mentadbir negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, mengingatkan pengundi untuk mengenalpasti wakil rakyat yang layak menjadi pemimpin.

Menerusi suara rakyat berhubung perkara itu, Ibrahim Alias, 68, berkata, ciri pemimpin yang diperlukan kini termasuk dalam kalangan golongan muda.

“Bagi saya, calon yang sesuai adalah daripada golongan orang muda. Beri peluang kepada orang muda yang lebih berkelayakan dan bertenaga. Sudah hampir 40 tahun masalah sama masih tak selesai. Sampai bila mahu begini, itu sebab kita perlukan pemimpin baru yang lebih proaktif.

“Lagi satu, pemilihan wakil rakyat berdasarkan lokaliti. Pilih wakil rakyat yang pernah merasa hidup susah seperti rakyat B40, mereka akan mendengar suara rakyat dan menyelesaikannya tiap kali ada masalah baru timbul.

“Setiap kali hampir tarikh PRU, banyak manifesto dan janji manis ditaburkan kepada rakyat. Namun pada akhirnya, masih juga tiada penyelesaian seperti isu subsidi dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.

Pada masa sama, Supiah Alias, 54, berkata, calon yang sesuai adalah dalam kalangan individu yang beriman, bertakwa dan amanah.

“Sifat-sifat itu perlu ada, mempunyai sijil atau tak, yang penting ciri keislaman itu perlu dititikberatkan.

“Bagi saya, rakyat tidak mempercayai manifesto dan janji yang ditaburkan oleh calon sebab semua orang boleh janji. Tetapi, apabila sudah menang, terus tidak munculkan diri,” katanya.

Johari yang juga Ketua Bahagian Umno Titiwangsa dan gagal mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan pada PRU-14, mengingatkan pengundi supaya menilai semula prestasi perkhidmatan wakil rakyat.

Sehubungan itu, Azrina Abdul Hamid, 41, bersetuju wakil rakyat yang sesuai adalah seorang yang adil, amanah selain peluang wajar diberi kepada golongan muda.

“Semua manifesto dan janji yang ditaburkan tidak memberi kesan kepada rakyat. Hal ini kerana, rakyat kini lebih bijak memilih dalam membuat keputusan.

“Namun, wakil rakyat yang telah dipilih perlulah menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin. Perlu mendengar suara rakyat berhubung sebarang permasalahan dan bantu menyelesaikannya,” katanya ditemui di Kampung Baru semalam.

Berdasarkan tinjauan, sebahagian besar penduduk bersetuju yang Johari ada memberi perubahan kepada persekitaran dan kehidupan penduduk di Kampung Baru di sini.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini