comscore
Tumpuan :
Nasional

Ras Adiba Radzi sertai BERSATU

FOTO: Datuk Ras Adiba Radzi/ Facebook

SEREMBAN: Bekas Senator, Datuk Ras Adiba Radzi sah menyertai parti BERSATU. Watikah keahlian beliau di dalam parti itu disampaikan oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyididn Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Taman Warisan Puteri Sikamat, di sini malam tadi.

Tiga lagi individu iaitu bekas Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, bekas Ketua Wanita PKR Negeri Sembilan, Azlimah Zamli dan bekas Ketua Cabang PKR Jelebu, Mazmi Ahmad Yusof turut menerima watikah masing-masing.

Penyerahan itu turut disaksikan Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Ras Adiba sebelum ini dilantik sebagai Senator bagi mewakili golongan kurang upaya (OKU) pada Mei 2020 iaitu ketika pemerintahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Beliau terdahulu turut menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Ras Adiba ketika ditemui berkata beliau memilih menyertai BERSATU untuk menyokong perjuangan gabungan PN dalam membela nasib rakyat termasuk golongan OKU. Beliau percaya hanya melalui PN yang berupaya mengembalikan kecemerlangan dan kesejahteraan negara.

Beliau ingin membantu BERSATU dan PN dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) bulan depan dalam memastikan PN dalam mengambil alih pemerintahan di Negeri Sembilan.

“Penyertaan saya dalam BERSATU bukan dengan tujuan untuk dicalonkan (dalam PRN) tetapi demi untuk perjuangan PN iaitu gabungan yang mampu membela nasib rakyat. Saya akan memberikan sokongan 500 peratus kepada sahabat-sahabat dalam BERSATU untuk membantu memastikan PN dapat membentuk kerajaan negeri dalam PRN ini nanti,” katanya.

Loading...
Terkini