
KEPALA BATAS: Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam dengan majoriti 2,321.
Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sekali gusmengubati kekecewaannya yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Reezal Merican yang mewakili Barisan Nasional (BN) mendapat 10,453 undi manakala pencabarnya dari Perikatan Nasional (PN) Khaliq Mehtab Mohd Ishaq pula memperoleh 8,132 undi.
Terdahulu, tindakan Reezal Merican yang ingin bertanding di Bertam adalah kerana ia adalah salah satu DUN dalam Parlimen Kepala Batas yang membolehkan dirinya untuk kembali menabur bakti kepada masyarakat dekat situ.
Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkenaan turut memaklumkan ia adalah signal bahawa walaupun tewas beliau sentiasa ada dan tidak pernah meninggalkan rakyat bahkan kemunculan semulanya juga disifatkan kebangkitan BN di Kepala Batas.
Pada PRU15 lalu, Reezal Merican tewas pada pencabarnya, Dr Siti Mastura Muhammad dari PN.
Siti Mastura menang dengan majoriti 2,867 dengan memperoleh 28,604 undi manakala Reezal Merican memperoleh 25,737 undi.
Kemenangan calon PN itu sekali gus menyaksikan buat pertama kalinya BN kehilangan kerusi Parlimen Kepala Batas dalam tempoh 48 tahun iaitu sejak kawasan Parlimen itu diwujudkan pada tahun 1974.