comscore
Tumpuan :
Politik

Rina kesal difitnah tak hormat ibu

Foto – NSTP

SEPANG: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Sepang, Datuk Seri Rina Mohd Harun kesal dengan dakwaan netizen yang seolah-olah ingin memfitnah dan menjatuhkannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia susulan tular video di media sosial memaparkan insiden Rina mengelap tangan pada pakaian ibunya, Tayibah Rusli.

Beliau bagaimanapun menafikan beliau mengelap tangan pada baju ibunya selepas bersalaman dengan seorang individu pada hari penamaan calon di luar Dewan Komuniti Bandar Salak Tinggi (BBST) Sabtu lalu.

Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, individu yang bersalaman itu adalah pegawainya dan beliau hanya merehatkan tangan dan bukan telapak tangan seperti didakwa netizen.

Katanya, beliau kesal dengan dakwaan netizen yang seolah-olah ingin memfitnah dan menjatuhkannya ketika berkempen “Diharap netizen dapat mengelak daripada membuat tuduhan tidak berasas serta negatif… parti yang bertanding dapat berkempen secara sihat demi menjaga kesejahteraan,” katanya kepada media pada program jelajah mesra bertemu pengundi Sepang hari ini.

Setakat ini video itu ditonton hampir 3,000 orang dan menerima pelbagai komen termasuk menuduh beliau bersikap kurang sopan terhadap ibunya.

Penyandang kerusi Parlimen Titiwangsa itu berkata, beliau berharap individu yang memfitnah itu menghentikan perbuatan mereka kerana perkara sedemikian tidak baik dan dilaknat Allah SWT.

Sementara itu, beliau berkata jentera pilihan raya PN di Sepang sudah bersiap sedia dan setakat ini beliau sudah turun banyak kawasan termasuk berjumpa penduduk daripada pelbagai kaum.

“Saya tidak ada masalah dengan penduduk di sini kerana ramai yang mengenali saya serta keluarga kerana kami penduduk tempatan di sini,” katanya.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Titiwangsa dimenangi oleh Rina yang ketika itu mewakili PH dengan majoriti 4,139 undi, menewaskan Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini