comscore
Tumpuan :
Politik

RoS Tolak Pendaftaran Pejuang Sebagai Parti Politik – Peguam

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipimpin bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk mendaftar parti itu sebagai sebuah parti politik.

Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Pejuang berkata pihak RoS telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung Penaja Pejuang Datuk Amiruddin Hamzah mengenai penolakan permohonan itu pada 5.50 petang semalam, atas alasan pendaftarannya dibuat secara tidak teratur.

“Kita menunggu arahan anak guam untuk tindakan seterusnya kerana dalam proses ini arahan yang ada mungkin untuk merayu kepada Kementerian Dalam Negeri,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datin Seri Mariana Yahya.

Hari ini sepatutnya ditetapkan bagi pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Pejuang bagi mencabar tindakan RoS yang masih belum meluluskan pendaftaran parti itu.

Mior Nor Haidir berkata berikutan keputusan RoS itu, Pejuang menarik balik permohonan kebenaran semakan kehakiman itu atas alasan ia menjadi akademik.

Mior Nor Haidir berkata Pejuang dijangka mengadakan sidang media berhubung perkara itu petang ini.

Dalam prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan V. Krishna Priya bertindak bagi pihak Ketua Pengarah RoS dan RoS selaku responden pertama dan kedua.

Pada 10 Dis 2020, Amiruddin memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa tindakan kedua-dua responden tidak memberikan sebarang keputusan atau mendaftarkan parti Pejuang adalah bercanggah dengan kewajiban statutori mereka serta tidak munasabah dan bersifat mala-fide (berniat jahat).

Beliau juga secara alternatif memohon deklarasi bahawa kegagalan kedua-dua responden mendaftarkan permohonan pendaftaran parti itu sebagai pertubuhan berdaftar adalah bercanggah dengan pengharapan sah pemohon.

Turut dipohon perintah mandamus bagi memaksa kedua-dua responden memutuskan permohonan pendaftaran Pejuang mengikut Seksyen 7(1) Akta Pertubuhan 1966 dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.- Bernama

Loading...
Terkini