comscore
Tumpuan :
Politik

Rundingan agihan kerusi PN selesai 80 peratus – Hadi Awang

Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Abdul Hadi Awang (dua dari kiri) ketika sidang media di Ibu Pejabat GERAKAN negeri Pulau Pinang, Jalan Macalister di sini. Turut bersama Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai (kiri); Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong (dua dari kanan); dan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan. – FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Proses agihan kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) menjelang ketibaan Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah mencapai 80 peratus setakat ini.

Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata perbincangan secara langsung berhubung rundingan pembahagian kerusi telah dilaksanakan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Menurutnya, ini termasuk persediaan membabitkan enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan Kelantan, Terengganu dalam berdepan PRN akan datang.

“Sebenarnya semasa PRU-15 (lalu) sudah ada perbincangan secara langsung dan itu menjadi asas perbincangan dalam persediaan menghadapi PRN.

“Jadi (boleh) dikatakan sudah siap 80 peratus di keenam-enam negeri,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat GERAKAN Pulau Pinang, lewat malam tadi.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS turut memaklumkan, keputusan perbincangan itu turut perlu melihat strategi menghadapi PRN dalam usaha mengekalkan momentum sokongan pengundi terhadap gabungan parti itu.

“Gelombang PRU-15 baru-baru ini dilihat memberi sokongan kuat (terhadap PN) apabila kita menyapu bersih negeri yang kita perintah di Kelantan, Terengganu manakala Kedah cuma satu kerusi saja kita terlepas.

“(Ini) menandakan kita ada kekuatan dan hasil ‘post mortem’ yang dibuat kita dapati, undi di Dewan Undangan Negeri kita menang secara keseluruhan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan, gelombang kejayaan itu dapat dikekalkan dalam situasi pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya sebagai tidak menentu ketika ini.

“Hendak kata (kerajaan) perpaduan bukan perpaduan. Kalau perpaduan mestilah kerajaan tiada pembangkang atau parti pembangkang terlalu kecil, tiada peranan baru (dipanggil) Kerajaan Perpaduan. Kalau separuh pembangkang, separuh kerajaan bukan perpaduan.

“Istilah pun tidak betul. Kemudian masih banyak masalah belum selesai…kenyataan yang tidak dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi menghadiri sesi dialog tertutup bersama Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang turut disertai pimpinan PN negeri.

Beliau berkata, program itu bertujuan mendekatkan saf di antara parti komponen PN, seterusnya menyalurkan maklumat yang betul kepada masyarakat khususnya golongan bukan Islam termasuk membincangkan isu Islamophobia.

“Isu Islamophobia sengaja ditimbulkan musuh Islam yang tidak senang dengan keamanan negara kita (terdiri daripada) masyarakat majmuk yang hidup harmoni antara satu sama lain.

“Kita jadi negara contoh di seluruh dunia, hubungan pelbagai kaum tidak sebagaimana negara lain tetapi ada pihak cuba hendak cetuskan Islamophobia untuk timbulkan ketegangan,” katanya.

Loading...
Terkini