comscore
Tumpuan :
Politik

Rundingan Tun M, PKR, PH Didakwa Hanya Untuk Capai Impian Politik

FOTO: NSTP

PADANG TERAP: Kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad berbincang bersama PKR dan BERSATU menjelang PRU15 dilihat sebagai usaha terakhir mereka mencapai impian politik masing-masing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata PRU15 sepatutnya dijadikan landasan mengembalikan pembangunan negara dan membela nasib rakyat, berbanding bermain politik semata-mata.

Jelasnya, sejarah membuktikan hubungan Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak begitu baik, tetapi mereka masih lagi mahu bekerjasama pada PRU15.

“Anwar dan Dr Mahathir bergaduh berpuluh tahun, sejak 1998 lagi sampai sekarang. Selepas itu sekejap baik, sekejap tak baik, sekejap cium mulut, lepas itu tak cium mulut.

“Rakyat boleh nampak bila mereka duduk sekali selama 22 bulan, apa kerajaan Pakatan Harapan (PH) buat semasa tubuh kerajaan? Dr Mahathir, Anwar dan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semua ada dalam kerajaan.

“Selepas itu, mereka berpisah buat hal masing-masing sebab bukan impian mereka nak memelihara rakyat, mereka hanya cerita mengenai politik sahaja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Mohd Razman Yaacob.

FOTO: NSTP

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) memaklumkan sedia berbincang dengan Anwar dan Perikatan Nasional (PN) berkaitan kerjasama pada PRU15.

Kesediaan itu difahamkan berasaskan kefahaman bersama dalam menyekat Barisan Nasional (BN) daripada kembali berkuasa dan memerintah negara.

Bagaimanapun, Anwar menolak kerjasama itu.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, adalah menjadi kebiasaan parti politik merancang strategi masing-masing kerana mempunyai impian menang dalam pilihan raya.

Katanya, maka tindakan Dr Mahathir mahu melakukan perbincangan bersama Anwar, walaupun mereka pernah tidak bersefahaman adalah perkara biasa.

“Saya tak fikir tajuk dan naratif (perbincangan) mereka adalah mahu bercakap mengenai pilihan raya atau untuk rakyat, semuanya untuk politik sahaja.

“Mereka bergaduh sejak dahulu sampai sekarang, mereka adalah watak lama, sekarang bukan lagi soal politik Dr Mahathir, Anwar dan Muhyiddin sahaja.

“Kalau ada yang berumur 30-an ke atas pun sudah tidak ingat (bagaimana sengketa Dr Mahathir dan Anwar), jadi sudah-sudahlah,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini