
ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dituntut memperbetulkan kenyataannya berhubung isu berkaitan unsur nadir bumi (REE) dan berhenti menyebarkan kenyataan yang mengelirukan umum.
Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dalam kenyataan malam tadi berkata pihaknya akan menyerahkan perkara berkenaan kepada proses perundangan sekiranya tiada sebarang tindakan diambil Saifuddin.
“Terdapat penularan video di media sosial melalui platform TikTok dan Facebook berhubung kenyataan yang dibuat oleh Saifuddin mengenai REE dan MBI Kedah.
“Lanjutan daripada itu, MBI Kedah telah membuat penelitian terhadap klip-klip video tersebut dan terdapat dakwaan dan kenyataan yang mengelirukan,” katanya.
Artikel berkaitan: Bawa ke mahkamah kalau ada bukti – Sanusi
Menurutnya, antara kenyataan mengelirukan dibuat oleh Saifuddin adalah mendakwa Pengerusi MBI Kedah dikenakan kompaun RM500,000 kerana mencuri REE di Kampung Chong, Sik dan melabel Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pencuri.
“Kenyataan pada 15 Julai lalu di Padang Awam Guar Cempedak. (Walhal) surat tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) kepada MBI Kedah dan pihak Ho Chung Meng.
Surat dialamatkan kepada MBI Kedah kerana pemegang lesen ladang hutan yang sah. Manakala Chung Meng mengakui kesalahan mencuri dan telah membayar denda.
Tiada nama Pengerusi MBI Kedah seperti yang disebut oleh Saifuddin,” katanya.
Beliau berkata pada 26 Julai di Pusat Operasi Pilihan Raya DUN Belantik pula, Saifuddin membuat kenyataan ‘Huang Zhi Yi, warganegara China yang kerja dengan MBI’.
“Dia bukan pekerja MBI Kedah. Proses pengambilan pekerja mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan pemohon perlu melalui temuduga serta pemeriksaan kesihatan sebelum tawaran pekerjaan dikeluarkan.
“Tiada surat tawaran pekerjaan dikeluarkan kepada Zhi Yi sehingga kini. Oleh itu, MBI Kedah menafikan dia sebagai pekerja MBI Kedah,” katanya.
Kenyataan itu berkata, Saifuddin turut mendakwa majikan Zhi Yi adalah MBI Kedah dan dibawa masuk oleh Muhammad Sanusi, namun perkara itu tidak benar kerana tiada kontrak perkhidmatan yang dikeluarkan atas nama Zhi Yi.
Malah, pada tarikh dan waktu sama, kenyataan Saifuddin bahawa Muhammad Sanusi memberi kebenaran kepada MBI Kedah untuk meneroka Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang juga mengelirukan dan tidak benar.
“MBI Kedah JV Jaentique Sdn Bhd telah mendapat surat kelulusan Projek Pembangunan Ladang Hutan di sebahagian Kompartmen 12, hutan itu daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah pada Mei 2016.
“Kerajaan Negeri Kedah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi Negeri Kedah telah meluluskan kawasan pada November 2015. Menteri Besar pada ketika itu bukanlah Muhammad Sanusi seperti dinyatakan Saifuddin,” katanya.