comscore
Tumpuan :
Politik

Sanusi akui ‘berdarah’ ketika serangan PH-BN

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui beliau ‘tercedera’ dan ‘berdarah’ ketika serangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas pembubaran dewan undangan negeri (DUN) sebelum ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata sebagai pemimpin di peringkat nasional dan negeri, beliau terpaksa kekal tenang berdepan serangan itu bagi memastikan ‘anak-anak buahnya’ turut tenang.

“Lepas bubar DUN, tipulah kalau saya katakan saya tidak rasa tertekan dengan semua serangan yang dihadapkan kepada saya sebagai ketua kerajaan. Saya absord (serap) semua serangan kepada diri saya sendiri supaya semua rakan-rakan lain terselamat daripada tembakan, sipi-sipi kenalah kepada calon-calon lain dan sipi-sipi pergi ke negeri-negeri lain.”

“Tipu lah kalau saya tak berdarah, berdarah jugak berlari rata tapi alhamdulillah kekuatan ini dari Allah,” katanya ketika berucap di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut, di sini malam tadi.

Muhammad Sanusi yang berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dalam pilihan raya negeri (PRN) semalam berkata beliau percaya rakan-rakan kepimpinan serta rakyat Kedah akan terus berada di belakangnya untuk menghadapi serangan pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Pudin (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), Abang Non (Datuk Seri Anwar Ibrahim) Cak Uban (Datuk Mahfuz Omar) Wak Jahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan semua kepimpinan PH dan BN di Kedah dan seluruh negara semuanya menghalakan meriam masing-masing ke negeri Kedah. Mereka telah memilih Kedah sebagai medan tempur dalam peperangan PRN,”katanya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dengan majoriti selesa sebanyak 16,050 pada pilihan raya negeri ke-15 malam tadi. – Foto: NSTP/ Noorazura Abdul Rahman

Selain itu, beliau juga menyembahkan ucapan menjunjung kasih kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah kerana membimbing, memberi pandangan dan nasihat untuk beliau terus berjuang sepanjang tiga tahun ini.

Katanya, beliau memerlukan sokongan rakyat Kedah untuk meneruskan saki baki perjuangan dengan beberapa kes mahkamah serta saman beratus juta ringgit dan tidak akan menyerah begitu saja.

“Kita akan wariskan negeri ini kepada generasi akan datang negeri yang selamat untuk didiami oleh bangsa yang bermaruah, berintegriti tidak ada siapa pun yang boleh memijak kepala kita lagi. Kita akan buktikan Kedah Darul Aman ini bukan bangsa yang boleh di arah tunduk kepada sesiapa pun.”

“Sekali kita bangun kita akan terus melangkah maju ke depan, jangan siapa cuba menghalang kita. Ini bangsa ‘fighter’ (pejuang) bangsa kita bangsa pahlawan, tiada ada sesiapa pun yang ada hak menentukan masa depan kita. Kita sendiri lah yang berhak menentukan ke mana kita nak pergi. Di mana kita nak gantungkan harapan kita,” katanya.

Loading...
Terkini