comscore
Tumpuan :
Politik

Saravanan Akui Bukan Mudah Ambil Hati Belia

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, mengakui bukan senang untuk mengambil hati belia dengan menggunakan ‘tiket’ politik dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, belia kini khususnya yang berusia 18 tahun ke atas amat matang dan mampu membezakan baik buruk sesuatu perkara, termasuk dalam memilih calon berkaliber untuk memenangi PRU-15.

“Belia boleh menilai yang mana betul dan salah, malah mereka boleh melihat sendiri apa yang berlaku pada PRU-14. Saya percaya mereka akan mengambil keputusan terbaik (untuk mengundi) dan membantu untuk menstabilkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, yang membincangkan tajuk ‘Pesta Cahaya Dalam Pilihan Raya’, hari ini.

Ditanya mengenai cabaran yang bakal dihadapi ketika gelombang PRU-15, Saravanan, yang juga Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Tapah berkata, media sosial adalah antara rintangan terbesar yang perlu ditempuhi memandangkan pengaruh alam maya amat ketara ketika ini.

“Ketika PRU14, pengaruh media sosial lebih kepada mesej tular melalui WhatsApp. Buat masa ini, kita lihat ia lebih kepada TikTok. Biarpun media sosial menjadi cabaran utama masa PRU-15, ia juga antara medium yang memainkan peranan penting kelak,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRU akan diadakan pada 19 November depan, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 5 November, manakala pengundian awal pada 15 November.

Sementara itu, Saravanan berkata kerajaan terpaksa membubarkan Parlimen dan mendepani PRU-15 kerana tiada kestabilan politik.

“Walaupun kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif dalam usaha memulihkan ekonomi pasca COVID-19, kekangan yang kita lihat adalah tiada kestabilan politik.

“Kerana tiada kestabilan politik, ia secara langsung mewujudkan ketidakselesaan dalam kalangan pelabur. Cuma, rakyat kena bantu kami untuk kekalkan kestabilan politik. Jangan sesekali kita ulang sejarah dalam satu penggal kita tukar (Perdana Menteri) beberapa kali,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini