comscore
Tumpuan :
Politik

Saya akan kembali – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Calon Pakaran Harapan (PH) Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menerima dengan hati terbuka kekalahannya di parlimen itu dan menganggapnya cabaran sebagai seorang wakil rakyat.

Sambil menzahirkan ucapan penghargaan kepada setiap yang menyokongnya, beliau tetap positif dan menganggap peluang mewakili Permatang Pauh di dalam Dewan Rakyat sebelum ini, adalah penghormatan terbesar di dalam hidupnya.

“Di Permatang Pauh, bermulanya Kajian Kemiskinan Pelbagai Dimensi pasca COVID-19 yang pertama di Malaysia, dan akhirnya diangkat di peringkat Unit Perancang Economi (EPU) sebagai kaedah menilai kemiskinan dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) merentasi pendapatan semata-mata.

“Terima kasih tidak terhingga di atas peluang dan ruang yang diberikan. Buat pengundi serta penyokong saya yang dikasihi, kasih serta dokongan anda memberi saya kekuatan dalam mendepani cabaran hidup dan masa hadapan,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Dalam pada itu, anak kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengucapkan tahniah kepada calon yang dipilih oleh rakyat.

Beliau berkata, setiap jawatan itu hadirnya dengan tanggungjawab dan amanah.

“Semoga mandat ini dipikul dengan penuh tanggungjawab, kasih dan kebijaksanaan.

“Tiada usaha tanpa kesilapan dan kekurangan. Jangan bimbang, rakan seperjuangan. Berkat usaha, doa, insha-Allah ‘l’Il be back’ (saya akan kembali),” katanya

Semalam, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan memenangi Parlimen Permatang Pauh yang juga kubu kuat PKR sejak 1982.

Muhammad Fawwaz meraih 37,638 undi dengan majoriti 5,272 untuk menewaskan Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR (32,366 undi). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini