comscore
Tumpuan :
Politik

Saya bodoh kalau tak terima tawaran menteri besar – Saarani

Saarani dalam sidang media selepas dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang Ke-15. – FOTO: NSTP

KUALA KANGSAR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan penggabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan campuran kerana BN terdesak mahukan jawatan Menteri Besar.

Saarani berkata, BN Perak sudah bersedia menjadi pembangkang kerana sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi bukan dominan.

Beliau berkata, bukan BN yang hendak jawatan Menteri Besar, sebaliknya kedudukan itu ditawarkan oleh PH jika bersetuju dengan kerajaan campuran Perak di antara BN dan PH.

“BN bersedia menjadi pembangkang sebab kami sedar diri yang kita kalah. Tetapi bila ada mana-mana parti yang tawarkan kami untuk bentuk kerajaan dan memberi peranan kepada kami untuk turut serta dalam pentadbiran kerajaan, sudah semestinya saya kena terima.

“Kalau tak terima, tentu ahli (BN) akan kata saya bodoh. Betul tak? Tapi peranan yang ia bagi itu sesuai pada saya sebab saya (sebelum ini) orang yang mengendalikan agenda Perak Sejahtera 2030. Jadi, saya nak teruskannya dan sebab itu saya terima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Mengangkat Sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-15 yang berlangsung di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Beliau berkata sedemikian selepas ditanya kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa BN memilih PH berbanding Perikatan Nasional (PN) kerana hendakkan jawatan Menteri Besar.

Saarani berkata, BN Perak menerima tawaran PH berhubung jawatan Menteri Besar berbanding dari Perikatan Nasional (PN) yang tidak sempat mengadakan pertemuan empat mata, bagi berunding serta diberikan sebarang peranan.

“Berbanding PN, mereka tidak datang berjumpa saya untuk berunding atau diberi sebarang peranan. Jadi, sebab itu saya pilih PH.

“Memang pada awal pagi 20 November (semalam) saya ada dikunjungi Setiausaha Perhubungan PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, tetapi dia hanya diberikan mandat untuk menguruskan perjumpaan antara saya dengan Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pengerusi PN Perak).

“Zainol tidak boleh buat apa-apa ketika itu (mengemuka tawaran). Tetapi pada jam 10 pagi semalam sebelum hadir mesyuarat Biro Politik UMNO, saya berjumpa Peja dan Zainol dan maklumkan pada mereka bahawa saya sudah diberi tawaran oleh PH, seterusnya menyarankan agar mereka pula mengemuka tawaran.

“Namun, tiada apa-apa tawaran saya terima daripada mereka, sedangkan DUN serta kerajaan Perak perlu segera wujud bagi membolehkan bajet kerajaan negeri diluluskan,” katanya.

Loading...
Terkini