comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] ‘Saya dan PM, we have no problems’

MELAKA: Barisan Nasional (BN) konsisten dengan keputusan menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu jelas dan tidak perlu dipersoal oleh semua pihak.

“Apabila UMNO dan BN membuat keputusan, kita komited menentukan Perdana Menteri kita (selepas PRU15) adalah Perdana Menteri yang sedang menjalankan tugas dengan baik di Putrajaya sekarang.

“Jangan timbul spekulasi, jangan timbul ramalan, jangan cucuk-mencucuk dalam kalangan kami, we have no problems at all’ (kami tiada masalah sama sekali),” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada perjumpaan bersama jentera BN Parlimen Tangga Batu di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang di sini petang ini.

Ahmad Zahid turut melancarkan BNComm Parlimen Tangga Batu.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; dan calon BN parlimen berkenaan, Datuk Lim Ban Hong.

Ahmad Zahid mengulangi keputusan BN dan UMNO mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan selepas PRU-15.

Bagaimanapun, calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, dilaporkan mendakwa khuatir janji itu tidak kesampaian.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut meminta pengundi tidak lagi memilih parti yang gagal membela nasib rakyat seperti Pakatan Harapan (PH) dan PN.

“Rugilah jika mereka tidak pernah menyesal memilih PH, rugilah jika pada (PRU) kali ini ada yang memilih PN kerana ‘track record’ selama 62 tahun memerintah bermula dari parti Perikatan diikuti oleh Barisan Nasional, kemajuan negara ini sebenarnya adalah atas kerja dan sumbangan BN bagi kita mengisi kemerdekaan di negara ini.

“Untuk itu, saya yakin apabila kita teruji dengan ketidakcukupan kerusi pada PRU14 lalu, rakyat menderita dan sengsara, apatah lagi apabila negara ini ditadbir oleh kerajaan gagal selama 17 bulan.

“Mana ada negara di dunia ini yang mengalami COVID-19 mengisytiharkan darurat, kecuali Malaysia sehingga Parlimen juga terpaksa digantung,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini