comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya ‘hadiahkan’ PN satu negeri’ – Shahidan

FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim ‘mencuit hati’ barisan anggota Dewan Rakyat pada sesi perbahasan sebelah petang hari ini, dengan kisah kemenangannya di Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Shahidan mengakui bersyukur kerana Perikatan Nasional (PN) menerimanya sebagai calon PRU selepas dipecat UMNO.

Sebagai balasan, katanya beliau ‘menghadiahkan’ Perlis kepada gabungan politik itu.

“Saya menang baru-baru ini. Saya dipecat dengan teruknya daripada parti asal saya (UMNO), tetapi syukur alhamdulillah PN menerima saya.

“Dan saya ‘hadiah balik’ kepada mereka satu negeri,” katanya sebelum disambut gelak ketawa dalam kalangan ahli Dewan.

PN menang besar di Perlis apabila menyapu bersih semua tiga Parlimen, selain 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Shahidan sebelum ini dipecat daripada UMNO susulan keputusannya bertanding atas tiket PN untuk mempertahankan Parlimen Arau pada PRU15, selepas beliau tidak dicalonkan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Shahidan ketika sesi sama mencadangkan supaya istilah pembangkang yang digunakan di Parlimen ditukar kepada oposisi, seperti yang digunakan di Indonesia.

Alasan diberi Shahidan istilah itu memberi gambaran peranan untuk semak dan imbang.

“Konotasi pembangkang yang digunakan begitu lama menyebabkan perangai membangkang, jadi tak elok.

“Ini tidak sepatutnya berlaku di Dewan yang mulia ini, tetapi perkataan digunakan seperti nak bergaduh, maka saya syorkan kita gunakan perkataan oposisi,” katanya.

Loading...
Terkini