comscore
Tumpuan :
Politik

Saya lebih tenang – Fatimah

Fatimah bersama Ismail selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di SK Chenor pada 19 November lalu.

KUALA LUMPUR: “Pemecatan tak melemahkan semangat perjuangan saya,” kata bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang dilucutkan keahlian semalam.

Beliau yang juga isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, berkata beliau akan meneruskan perjuangan bersama sahabat daripada Dewan Muslimah PAS.

“Saya istiqamah dalam perjuangan menegakkan agama dan demi bangsa dan tanah air.

“Saya tidak rasa kecewa atau marah atas pemecatan dan di peringkat bahagian pun saya rasa lebih tenang dan selesa menjalankan khidmat bakti kepada masyarakat,” katanya kepada BH.

Fatimah antara tiga yang dilucutkan keahlian oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selain bekas Ketua UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datin Seri Shamsiah Yassin yang juga isteri Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pemecatan itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mana tindakan pelucutan keahlian itu adalah mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO selepas ketiga-tiga mereka didapati melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO yang juga berkaitan tata etika ahli.

Fatimah berkata, beliau akan terus menabur bakti kepada masyarakat dan tidak akan mengajak wanita UMNO yang lain untuk bersamanya,

“Saya tidak akan sentuh wanita yang tidak sehaluan dengan saya sekarang kerana masing-masing ada prinsip dan fahaman politik… bahkan masa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dulu pun saya tak ajak Ahli Jawatankuasa (AJK) atau Ketua Wanita Cawangan bersama saya,” katanya

Beliau menjelaskan akan terus fokus kepada pengundi muda dan pengundi luar.

“Sebenarnya sasaran saya hampir capai. Terima kasih kepada semua anak muda yang bersama kami terutama bekas pelajar yang dikasihi. Anda adalah pewaris dan harapan masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Sementara itu, Shamsiah ketika dihubungi menyatakan beliau enggan mengulas perkara itu kerana beliau sudah pun dipecat.

“Tiada apa yang saya hendak katakan… saya pun dah dipecat, maaf tak dapat beri kerjasama,” katanya.

Loading...
Terkini