comscore
Tumpuan :
Politik

Saya tak terbabit dalam kempen PN – Isteri Shahidan

ARAU: Bekas Ketua Wanita UMNO Perlis, Datin Seri Shamsiah Yasin mendakwa pemecatan keahlian beliau hanya kerana menemani suaminya Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menghantar borang pencalonan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau digantung sementara jawatan peringkat UMNO cawangan dan bahagian pada 13 November lalu oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana didakwa terbabit secara langsung atau tidak langsung dan menyokong calon parti lawan pada PRU15.

Katanya, beliau sekadar menemani Shahidan ketika penamaan calon di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau pada 5 November lalu.

“Walaupun saya ahli UMNO, pada hari penamaan calon, saya mengiringi suami saya sahaja. Tiada niat pun saya cuba untuk mensabotaj parti Barisan Nasional (BN) kerana saya hadir mengiringi suami saya atas dasar saya ini isteri kepada calon berkenaan.

“Saya tidak faham mengapa timbul dakwaan saya cuba mensabotaj parti. Ini tidak benar kerana pada sepanjang tempoh kempen, saya tidak terbabit dengan apa jua kempen membabitkan suami saya.

Jadi, apabila saya dimaklumkan pada Khamis saya dipecat, saya terkejut.”Saya sudah pun menghantar surat tunjuk sebab pada 24 November lalu kepada Lembaga Disiplin UMNO menjelaskan apa yang berlaku dan menafikan sebarang tuduhan sabotaj.

Sebelum pilihan raya juga, saya sudah memaklumkan kepada semua Ketua Wanita UMNO di peringkat cawangan seperti di Kangar supaya terus membantu calon BN, Datuk Dr Fathul Bari dengan menyantuni bertemu rakyat. Apa sebab saya dipecat,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita dalam sidang media di kediamannya di Taman Jejawi, di sini hari ini.

Katanya, walaupun Shahidan menyertai PN secara rasmi, beliau dinasihatkan suaminya untuk meneruskan kempen untuk BN dan tidak perlu menyertai kempen bersama PN.

“Ramai sahaja ahli politik yang pasangan masing-masing tidak sehaluan dari segi sokongan terhadap parti politik dan ketika itu, saya tetap bersama BN walaupun suaminya saya sudah menyertai PN,” katanya.

Shamsiah berkata, selepas ‘dihalang’ untuk berkempen membantu calon BN, beliau mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan tidak menyertai kempen dalam PRU lalu.

“UMNO kini sudah berubah wajah menjadi ‘parti pecat’ di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Sesiapa sahaja yang cuba menghalang cita-cita presiden atau menegur kepimpinan parti, siap sedialah untuk dipecat.”Saya sedih presiden UMNO sepatutnya tak perlu rakus memecat semua orang yang tidak sehaluan pendapat dengannya.

Apa salahnya berbincang demi menguatkan saf dan perjuangan UMNO,” katanya.

Beliau yang sudah berada dalam Umno sejak 1986 menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh UMNO itu menyebabkan beliau berasa ‘tawar hati’ untuk berjuang dalam politik, sebaliknya kini beliau menumpukan kerja kemasyarakatan membantu rakyat Perlis menerusi badan bukan kerajaan, Perpaduan Ummah.

Selain Shamsiah, UMNO pada Khamis lalu turut memecat Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang juga isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.

Loading...
Terkini