comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Selesai masalah banjir di Sepang keutamaan saya – Anuar Basiran

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

DENGKIL : Penyelesaian isu banjir di Sepang akan menjadi keutamaan Barisan Nasional (BN) Sepang jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata calon bagi kerusi Parlimen berkenaan, Anuar Basiran.

“Saya ingin menzahirkan rasa simpati saya kepada semua mangsa banjir di Parlimen Sepang. Inilah kebimbangan yang telah saya nyatakan sebelum ini.

“Keutamaan saya untuk Parlimen Sepang sudah pasti untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, selain Dewan Komuniti Dengkil, dua lagi PPS turut dibuka iaitu Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Sekolah Rendah Agama Dato Ahmad Razali yang menempatkan lebih 130 mangsa.

“Saya difahamkan satu lagi PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil akan dibuka menjadikan keseluruhan empat PPS yang akan menempatkan 113 keluarga,” katanya.

Calon BN, Anuar Basiran melawat mangsa banjir di PPS Dewan Komuniti Dengkil, di sini petang tadi.

Terdahulu, Naib Ketua UMNO Sepang itu meninjau kawasan banjir antaranya di Sri Tanjung, Kampung Chemperai, Taman Dengkil, Sungai Buah, Jenderam dan Labohan Dagang.

Ditanya mengenai pergerakan mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS untuk keluar mengundi pada Sabtu ini, Anuar berkata, terdapat pasukan logistik yang akan menguruskan kenderaan mereka ke pusat undi.

“Itu bukan masalah (pergerakan mangsa banjir ke pusat undi), masalah utama adalah bagaimana nak mengurus mangsa banjir ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil, Mohamad Saifuddin Mohamad Hussin berkata, pasukannya membuat persediaan operasi banjir bermula jam 3.30 pagi tadi berikutan hujan lebat di kawasan Hulu Langat.

Katanya, setakat ini tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan, dengan pemantauan operasi dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Ada keluarga yang masih terperangkap di kediaman mereka. Kita dah maklum untuk keluar namun mereka ambil keputusan untuk terus tinggal di rumah. Tapi apabila air naik, mereka panggil kita semula untuk keluar.

“Cabaran kita adalah berhadapan dengan kenaikan air secara mendadak bukan melibatkan satu tempat tapi merebak di merata tempat,” katanya yang ditemui pemberita ketika operasi dan pemantauan di Kampung Sri Tanjung di sini.

Loading...
Terkini