comscore
Tumpuan :
Politik

Semoga Tambun terus maju – Ahmad Faizal

KUALA LUMPUR: “Semoga Tambun terus maju bersama Ahli Parlimen baharu,” kata bekas penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Calon Perikatan Nasional (PN) itu menerima kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun tidak menganggap ia penamat kariernya dalam arena politik negara.

Beliau juga memberi bayangan akan kembali dengan lebih kuat selepas ini bagi merebut kerusi itu.

“Terima kasih warga Tambun yang sudah menjalankan tanggungjawab anda untuk mengundi. Semoga Tambun terus maju bersama Ahli Parlimen baharu.

“Perjuangan ini tidak akan terhenti di sini. Semoga kita bertemu kembali. We will come back stronger! Insyaallah,” tulisnya dalam ciapan di Twitternya, hari ini.

Pada PRU-15, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tewas kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi kerusi Parlimen Tambun dengan memperoleh 49,625 undi.

Ahmad Faizal selaku bekas penyandang kerusi itu memperolehi 45,889 undi sementara calon Barisan Nasional Datuk Aminuddin Md Hanafiah mendapat undian sebanyak 28,140 dan calon Pejuang, Abdul Rahim Tahir sebanyak 1,115 undi.

Sebelum ini, Parlimen Tambun sering menarik perhatian sepanjang episod kempen PRU-15 apabila melancarkan ‘perang’ poster dan billboard yang semuanya hampir bersaiz mega bagi mewarnai suasana kempen.

Loading...
Terkini