comscore
Tumpuan :
Politik

Semua agensi penyelamat diarah bantu mangsa banjir di Selangor – PM

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi penyelamat sudah dikerahkan ke lokasi yang dilanda banjir di beberapa kawasan di Selangor yang dinaiki air, sejak semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata agensi penyelamat membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah bergerak ke lokasi banjir bagi memindahkan mangsa.

“Saya mengarahkan semua agensi yang terbabit termasuk Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), memberikan perhatian sepenuhnya bagi membantu semua Keluarga Malaysia yang ditimpa musibah banjir.

“Saya juga mahu mereka memastikan operasi menyelamat mangsa berjalan dengan lancar, stok makanan dan pengangkutan bersedia sepenuhnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, malam ini.

Banjir dilaporkan melanda beberapa kawasan dan daerah di Selangor termasuk Meru, Klang, Kapar dan Shah Alam.

Pusat Operasi Smart Selangor memaklumkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 9 malam ini termasuk di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, Klang yang menempatkan 147 mangsa banjir kilat.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di dua PPS yang baru dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai di Meru dan Dewan Orang Ramai Kampung Budiman dekat sini, masih dalam bancian.

Perdana Menteri turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan bencana yang berlaku dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh agensi keselamatan.

“Sentiasa peka dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bagi membuat persediaan awal.

“Sama-sama kita berdoa agar bencana alam ini segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat,” katanya.

Loading...
Terkini