comscore
Tumpuan :
Politik

Serangan peribadi tidak ganggu fokus untuk bantu rakyat di Kuala Kubu Bharu

Sock Tao (dua dari kanan) beramah mesra dengan calon PN, Khairul Azhari Saut (kanan) ketika walkabout di Pasar Pagi Batang Kali sempena PRK DUN Kuala Kubu Bharu. – FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Serangan peribadi yang ditujukan kepada dirinya tidak mengganggu perjalanan kempennya setakat ini.

Menurut calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao, sebagai anak muda beliau berhasrat membawa pendekatan politik baharu yang memfokuskan tawarannya sebagai calon PRK kepada warga kawasan itu berbanding menggunakan taktik seumpama itu.

“Paling penting, saya perlu fokus dan tidak boleh lari daripada itu, sebab bagi saya serangan peribadi seperti itu tidak relevan langsung kepada rakyat di sini yang mahukan wakil yang boleh membantu dan berkhidmat kepada mereka.

“Jadi dengan hati yang ikhlas dan iltizam yang tinggi, saya mampu dan yakin boleh membantu penduduk di DUN Kuala Kubu Bharu.

“Kita perlu mengamalkan politik matang dan berharap pencabar saya yang bertanding dalam PRK ini boleh berkempen dengan berhemah. Saya sendiri tidak mahu ulas isu peribadi orang lain,” katanya selepas melakukan walkabout di sekitar pekan Kuala Kubu Bharu bersama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di sini, hari ini.

Sementara itu, tempoh kempen yang memasuki hari ke empat itu, Sock Tao yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata, setakat ini maklum balas diterima daripada pengundi dilihat amat positif walaupun beliau calon luar dari kawasan itu.

Beliau berkata, pembangunan kawasan dan kebajikan terhadap semua masyarakat masih kekal menjadi fokus utamanya bagi kawasan berkenaan.

“Persoalan mengenai saya adalah orang luar itu sudah tentu ditanya (oleh masyarakat Kuala Kubu Bharu), jawapan saya adalah saya akan bekerja keras dan saya boleh tinggal di sini untuk memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, PRK DUN Kuala Kubu Bharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH, Perikatan Nasional (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas, diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini