comscore
Tumpuan :
Politik

Setiausaha Agung, Ketua Penerangan Parti PBM Digantung

KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid digantung daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Perkembangan itu susulan kemelut kepemimpinan dalam parti berkenaan, membabitkan kem diketuai Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng dengan kem Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Larry mendakwa, beliau masih Presiden PBM, manakala Zuraida yang sebelum ini dinamakan sebagai presiden pengganti, diumumkan secara rasmi sebagai presiden menggantikan Ahli Parlimen Julau itu pada 7 Oktober lalu.

Mengumumkan penggantungan Nor Hizwan dan Zakaria dalam kenyataan di Facebooknya hari ini, Larry berkata, tindakan itu diambil selepas mereka didapati menjejaskan kedudukan beliau dalam parti dengan mengadakan pertemuan tanpa pengetahuannya.

Beliau mendakwa, mesyuarat majlis tertinggi parti yang diadakan pada 7 Oktober lalu adalah sebahagian daripada usaha untuk menggantikannya dengan Zuraida, namun rekod Pendaftar Pertubuhan (RoS) terkini menunjukkan beliau masih lagi Presiden PBM.

“Saya masih lagi presiden yang diiktiraf secara sah dan selaras perlembagaan PBM Perkara 60 (iii). Justeru saya memutuskan untuk menggantung Nor Hizwan dan Zakaria berkuat kuasa serta-merta.

“Ini berhubung mesyuarat majlis tertinggi diadakan pada 7 Oktober 2022, yang tidak seperti diarahkan saya selaku presiden parti,” katanya sambil memaklumkan, Timbalan Setiausaha Agung PBM, Jenny Chiew mengambil alih tugas Nor Hizwan.

Katanya lagi, mesyuarat 7 Oktober lalu itu dijalankan pada masa sama Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat dan beliau hanya dimaklumkan mengenai keputusan itu selepas mesyuarat berakhir.

“Keputusan mesyuarat itu dikatakan melantik Zuraida sebagai presiden sedangkan jawatan itu tidak pernah kosong. Saya mengutuk gerakan politik sebegitu, yang menjejaskan kepercayaan kepemimpinan saya dan menimbulkan kekeliruan kepada ahli parti dan orang ramai.

“Jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib dibentuk untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini