comscore
Tumpuan :
Politik

Keahlian UMNO Shahidan dan tiga lagi digugurkan

KUALA LUMPUR: Empat ahli UMNO yang bertindak bertanding mewakili parti lawan dan menjadi calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) digugurkan keahliannya daripada parti.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, empat ahli berkenaan ialah Datuk Seri Shahidan Kassim (Parlimen Arau) dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran) yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, keahlian Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon bebas bagi kawasan Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi serta Datuk Azhar Ahmad bagi DUN Kuala Perlis turut digugurkan.

“UMNO ingin memaklumkan pengguguran keahlian empat ahli parti pada PRU-15 selepas penamaan calon mereka diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Sabtu lalu.”

“Dengan pengguguran keahlian ini, jawatan mereka di peringkat UMNO Bahagian akan dipangku oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang berkenaan,” katanya melalui kenyataan.

Ahmad berkata, pengguguran keahlian keempat-empat mereka itu selaras dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.

Beliau berkata, Perlembagaan itu jelas menyebut, seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya akan gugur keahlian dengan sendirinya.

“UMNO juga ingin menegaskan, beberapa ahli lain, termasuk mereka yang dilihat mengiringi empat calon berkenaan semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan kini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) dalam usaha menampilkan lebih banyak muka baharu pada PRU-15 bertindak menggugurkan beberapa pemimpin senior dalam gabungan itu.

Antara pemimpin ‘heavyweight’ yang digugurkan ialah Shahidan sendiri, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan; Tan Sri Noh Omar di Tanjong Karang, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Pasir Salak; Datuk Seri Adham Baba di Kota Tinggi dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Tenggara).

Tindakan itu bagaimanapun tidak diterima sebahagian kecil mereka yang nekad mengambil tindakan bertanding atas tiket parti lain.

Loading...
Terkini