comscore
Tumpuan :
Politik

Sivaraj akur keputusan pimpinan BN tak tembung PH di Padang Serai

FOTO: NSTP

KULIM: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti yang mahukannya berundur supaya tidak bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak pada pilihan raya Rabu ini.

Katanya, tiada kepentingan yang lebih utama daripada ketetapan parti, namun percaya khidmatnya masih diperlukan selepas lebih tiga tahun bersama penduduk Padang Serai.

“Saya tetap akan terus berkhidmat untuk masyarakat setempat walaupun tahu tidak akan dapat menyelesaikan masalah besar dihadapi mereka. Dengan sedikit kebolehan dan kemampuan yang ada, sekurang-kurangnya dapat bantu selesaikan masalah asas masyarakat di sini,” katanya.

Beliau berkata, kehadirannya di Padang Serai diterima baik semua lapisan masyarakat, malah sentiasa mendapat sokongan serta nasihat untuk terus berkhidmat.

“Selama saya di sini, golongan ibu sentiasa melayan seolah-olah saya anak mereka sendiri, mereka yang saya anggap kakak dan abang juga tidak pernah leka untuk memberi nasihat dan bimbingan bila perlu, malah adik-adik di Padang Serai sentiasa memberi sokongan.

“Mereka ini yang menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus cuba untuk berkhidmat dengan sebaik mungkin selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan dapat memberi perhatian sewajarnya mengenai isu-isu yang diketengahkan melalui manifestonya sebelum ini.

“Lima tekad kami perlu diberi perhatian sewajarnya kerana Parlimen Padang Serai jauh ketinggalan dalam segenap aspek. Tidak adil untuk rakyat Padang Serai terus diabaikan tanpa pembelaan yang sepatutnya diterima oleh mereka,”katanya.

Malam tadi, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan BN memberi laluan kepada PH bagi menghadapi saingan lain dalam PRU-15 di kerusi berkenaan, tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan PH dan BN di peringkat Nasional. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini