comscore
Tumpuan :
Politik

Sokongan anak muda dan kempen dalam talian bantu PN tawan Tangga Batu

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Sokongan padu anak muda dan kempen secara dalam talian antara faktor utama kejayaan Perikatan Nasional (PN) menawan kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), semalam.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, gelombang kali ini dilihat lebih ketara apabila kreativiti berkempen yang digunakan berjaya menawan hati bukan sahaja golongan muda, bahkan pelbagai peringkat usia penduduk Tangga Batu.

“Saya rasa kempen di media sosial yang kita gunakan sangat membantu dalam menjangkau semua lapisan umur, selain kecendurangan minat anak muda itu sendiri apabila saya berbicara soal ekonomi digital.

“Bagi saya, kemenangan ini bukanlah kemenangan untuk PN tetapi ia kemenangan semua warga P.136 Tangga Batu yang terdiri daripada tentera dan pesara, petani, nelayan, pekerja kilang dan khususnya anak muda itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong, di sini, malam tadi.

Bakri menang dengan majoriti 8,849 selepas memperoleh 37,406 undi, menewaskan penyandang kerusi itu, Prof Madya Rusnah Aluai (PH) yang memperoleh 28,557 undi dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong (25,095 undi).

Dalam pada itu, Bakri berkata, perkara pertama yang akan dilakukannya sebagai Ahli Parlimen ialah mahu menyelesaikan masalah nelayan, selain mengadakan forum bersama anak muda untuk mendengar segala pandangan dan permasalahan mereka.

Loading...
Terkini