comscore
Tumpuan :
Nasional

SPR tubuh pasukan penguat kuasa pantau PRK DUN Mahkota

Dr Azmi Sharom

KLUANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau aktiviti calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sepanjang berkempen.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya berharap kempen yang bermula hari ini hingga jam 11.59 malam 27 September ini berjalan dalam suasana penuh harmoni, mengikut undang-undang serta peraturan ditetapkan.

Beliau berkata, calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen.

Hal ini termasuk bahan yang mengandungi gambar calon, lambang, simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.

“Semua kaedah dan bahan kempen dibenarkan selagi mana ia tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R (bangsa, agama dan institusi raja) serta tidak melanggar peruntukan Akta 5 dan undang-undang yang berkaitan.

“Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin politik komponen atau gabungan atau pakatan pada bahan kempen pilihan raya,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61 tahun.

SPR menetapkan 28 September ini sebagai hari pengundian manakala hari undi awal ialah pada 24 September.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini