comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] SPRM pertimbang buat laporan polis terhadap ugutan Rafizi

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertimbang untuk membuat laporan polis terhadap Rafizi Ramli berikutan ancaman diterima Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki daripada Timbalan Presiden PKR itu.

Tan Sri Azam berkata, ugutan berkenaan bukan sahaja kepada diri beliau tetapi juga kepada seluruh warga suruhanjaya tersebut.

“Saya akan pertimbangkan untuk buat laporan polis tetapi saya pesan kepada pegawai saya bahawa kita buat kerja tanpa rasa takut atau memihak. Apa kerja dan siasatan yang kita buat pada sesiapa pun adalah seperti biasa dan mengikut prosedur biasa,” katanya.

Beliau ditemui wartawan yang sedang membuat liputan di Pasar Awam Presint 8 di sini pagi tadi.

Ditanya reaksinya apabila menerima ugutan daripada pemimpin PKR berkenaan, beliau berseloroh bahawa beliau takut dengan ancaman itu.

“Takut saya. Betullah kalau ada orang dah berkuasa, takut saya. Apa nak dibuat kalau dia ada kuasa, buatlah apa yang dia patut. Kita ini apa sangat, kita buat kerja kita,” katanya.

Terdahulu, pada Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru malam kelmarin, Rafizi yang juga calon PH Parlimen Pandan memberi amaran kepada Tan Sri Azam untuk ‘mencarinya’ jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), esok.

Amaran itu susulan syarikat analisis data Invoke Solutions Sdn Bhd milik Rafizi yang didakwanya telah diserbu SPRM.

Bagaimanapun, Tan Sri Azam membidas dakwaan pejabat Invoke diserbu dan memaklumkan ia adalah siasatan biasa ekoran laporan diterima SPRM terhadap syarikat tersebut.

“Yang pasal kes dilaporkan (kes Invoke), kita buat secara diam sahaja, kita pergi ke pejabat dia, tidak buat bising-bising. Tetapi pihak dia yang bising-bising, kata kami serbu dan sebagainya. Kita tak pernah serbu pun, tapi tidak apa. Saya cakap banyak-banyak takut (nanti) esok kena tangkap,” katanya.

Ditanya mengenai tuduhan Rafizi bahawa tindakan SPRM adalah pendakwaan politik yang bertujuan untuk mengubah sentimen terhadap PH sebelum hari pengundian esok, Tan Sri Azam berkata: “Saya tak reti (pandai) pendakwaan politik ini, saya hanya manusia kecil, takut saya orang nak tangkap saya.”

Mengulas lanjut, menurutnya, ancaman Rafizi tidak meruntuhkan moralnya yang sudah 39 tahun berkhidmat dengan suruhanjaya berkenaan untuk terus melaksanakan tugas.

“Kalau perkara begini insya-ALLAH tak ada apa-apa pada saya. Kita bertugas seperti biasa demi rakyat dan negara,” katanya.SPRM pertimbang buat laporan polis terhadap ugutan Rafizi

 

Loading...
Terkini