comscore
Tumpuan :
Politik

Strategi parti tampil calon baharu, beri saingan setara

Foto Perikatan Nasional, Barisan Nasional, dan Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR: Strategi yang digunakan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bakal memberikan persaingan yang setara kepada ketiga-tiga gabungan utama itu.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata pendekatan itu bukan baharu bagi BN apabila strategi berkenaan telah dipraktikkan dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini yang menyaksikan kemenangan besar buat parti itu.

“Kalau lihat strategi BN ketika PRK 2019 yang menempatkan calon muka baharu, telah memberi kemenangan besar di PRK Cameron Highlands dan Tanjung Piai. Malah strategi sama digunakan pada PRN Melaka dan Johor dengan kedua-duanya menunjukkan hasil sangat mujarab, lebih dua per tiga kemenangan majoriti di dua negeri ini.

“Saya tidak boleh mengatakan ia (strategi muka baharu) tidak berkesan. Semua parti telah ambil strategi baharu dengan perkenalkan muka baharu bukan sahaja BN tetapi PH dan PN… strategi ini menjadikan semua parti kini berdepan cabaran persaingan setara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu di program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi. Turut menjadi tetamu pada program itu Ketua Penyelidik ILHAM Centre Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Mengulas perkara sama, Mohd Yusri berkata langkah meletakkan calon muka baharu turut memberi harapan baharu kepada landskap politik negara terutama generasi muda yang akan mula mengundi pada PRU15 kerana kebanyakan anak muda lebih cenderung memilih calon berdasarkan keterampilan dan kewibawaan.

“Ini adalah melalui cerapan kami di lapangan sebelum ini di mana sebelum pembubaran Parlimen kita lihat sentimen besar dalam kalangan pengundi muda memilih calon berdasarkan keterampilan.

“Bagaimanapun apabila kempen bermula, mereka melihat kepada kewibawaan calon yang dipertaruhkan parti politik. Di penghujung kempen yang tadi pada awalnya melihat berdasarkan keterampilan calon, mereka mula beralih (perhatian) kepada parti,” katanya.

Beliau berkata sepanjang 14 hari berkempen, isu paling berkesan yang mampu menarik perhatian pengundi adalah berkaitan peluang pekerjaan, kos sara hidup, kenaikan harga barang dan membasmi kemiskinan.

“Jadi, calon-calon tawarkanlah tawaran terbaik untuk sama-sama bergerak membawa Malaysia ke persada jauh lebih tinggi,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini