comscore
Tumpuan :
Politik

Surat akujanji UMNO palsu, BNComms lapor polis

BNComms membuat laporan polis hari ini. FOTO: BNComms

Oleh Salina Zakaria

Kuala Lumpur: Tindakan pihak tertentu menularkan surat akujanji calon UMNO wajib menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah palsu dan berniat jahat.

Justeru, Komunikasi Barisan Nasional, BNComms membuat satu laporan polis di Balai Dang Wangi jam 2.00 petang tadi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sebagai satu amaran kepada individu yang sengaja mahu memperlekeh UMNO dan BN ketika tempoh berkempen.

Menerusi satu kenyataan media petang tadi di Menara Dato Onn, ibu negara Setiausaha Komunikasi BN, Dazma Shah Daud menegaskan pihaknya kecewa dengan penularan yang sengaja dilakukan ketika ini.

“Ingin ditegaskan sekali lagi sebarang penyebaran maklumat Barisan Nasional akan dikeluarkan BNComms utk maklumat lanjut, boleh layari www.bnnewsonline.com”, katanya pada sidang media.

Mengulas lanjut kepada media beliau mengakui telah bertemu sendiri dengan Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah untuk makluman lanjut.

“Saya telah bertemu dengan Shamsul Anuar di pejabat kami di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan bertanya mengenai kesahihan perjanjian seperti ditularkan menerusi surat akujanji itu. Beliau memberitahu bahawa dia tidak pernah menandatangani sebarang surat atau dokumen perjanjian sepertimana yang tular dan ia adalah palsu serta berniat jahat,” katanya.

Difahamkan laporan polis di negeri lain turut akan dilakukan secara proaktif bagi menyekat penularan berita palsu sepanjang tempoh kempen PRU-15.

Sebelum ini, tular di media sosial tujuh syarat akur janji calon semasa PRU-15 dengan salah satunya menggesa calon menyokong segala tindakan Presiden BN.

Loading...
Terkini