comscore
Tumpuan :
Politik

Syed Saddiq isytihar aset RM1.9 Juta

Syed Saddiq pada sidang media di Pejabat MUDA Parlimen Muar di Sungai Balang, hari ini

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

MUAR: Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengisytiharkan aset bersih miliknya sebanyak RM1.9 juta.

Presiden MUDA itu, berkata pengisytiharan aset yang dimilikinya setakat 30 September lalu dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Katanya, kebanyakan aset itu diperoleh sebelum dan selepas menyertai politik selain ketika sepanjang beliau menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Jumlah itu termasuk wang tunai dimilikinya yang berjumlah lebih RM45,000 serta pelaburan lain bernilai RM1.2 juta.

Beliau juga memiliki sebuah motosikal jenis Yamaha NVX bernilai RM8,500 selain membiayai sebuah kereta Honda City milik abangnya sebanyak RM757 sebulan selain memiliki sebuah basikal jenis Pinarello terpakai berharga RM8,000.

Selain itu, aset lain yang diisytihar termasuklah sebuah unit kondominium yang masih dalam pembinaan di Kuala Lumpur bernilai RM880,000 serta memiliki pegangan 50 peratus rumah keluarga di Elmina, Shah Alam, Selangor.

Selain itu, beliau turut mengisytiharkan dua ekor kucing yang dimiliki beliau bernama ‘Toby dan Meow Meow’, yang dikatakan tidak ternilai.

“Saya tidak memiliki aset di luar negara, tiada tanah, saya tidak ada jam mahal, saya tiada baju mewah dan tidak memiliki akaun bank luar negara.

“Sepanjang saya menteri juga, tiada seorang pun ahli keluarga saya dapat sebarang kelebihan, malah, tender projek kementerian dibuat secara terbuka,” katanya pada sidang media di Pejabat MUDA Parlimen Muar di Sungai Balang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa supaya semua bekas menteri lain mengisytiharkan harta masing-masing kerana rakyat berhak tahu.

“Sebab itu isytihar harta ini penting, supaya rakyat tahu dari mana terima dana, apakah datang dari pemberian kontrak, daripada jawatan menteri, daripada kerajaan, semua ini dapat dikesan. Kalau kita masuk politik untuk dapat kontrak, jangan masuk politik.

“Saya tahu selepas ini akan ada orang kritik dan saya menerima kritikan dengan hati terbuka, cadangan dengan hati terbuka, cuma saya berharap kritikan dan cadangan ini disampaikan juga kepada sahabat lain untuk isytihar aset dan harta mereka,” katanya.

Ditanya sama ada calon MUDA lain yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) turut mengisytiharkan harta mereka, Syed Saddiq berkata, semua mereka akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

‘Saya calon pertama, untuk calon MUDA lain, nanti mereka akan mula isytihar satu persatu dari mereka akan isytihar harta.’

Loading...
Terkini