comscore
Tumpuan :
Politik

Tak perlu cetus kontroversi – Salahuddin

Foto tular pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan abangnya, Nik Omar yang turut disertai Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kota Bharu, Kelantan.

KUALA NERUS: Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ahli keluarga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak sepatutnya dijadikan kontroversi.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata sudah menjadi kebiasaan Perdana Menteri mengunjungi dan menziarahi sahabat lama dan keluarga mereka ketika mengadakan program di seluruh negara.

Bekas Naib Presiden PAS itu memaklumkan, Anwar pernah menziarahi keluarga bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Kedah, akhir bulan lalu.

“Sebelum ke Terengganu malam tadi, Perdana Menteri dan isteri turut menziarahi pengasas dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pertama, Prof Dr Razali Nawawi yang kini dalam keadaan uzur.

“Lawatan dan ziarah kawan lama oleh Datuk Seri Anwar sudah menjadi kebiasaan pemimpin negara,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup selepas merasmikan majlis pelepasan Lori Rahmah peringkat negeri, di sini semalam.

Salahuddin ditanya pemberita mengenai gambar pertemuan Anwar dengan Nik Mohamad Abduh yang juga bekas Ahli Parlimen PAS Bachok ketika lawatan Perdana Menteri ke Kelantan kelmarin, yang mencetuskan tanda tanya.

Pertemuan itu yang dikatakan diadakan di Hotel Perdana di Kota Bharu, dikatakan turut dihadiri abang Nik Mohamad Abduh, iaitu Nik Omar yang menyertai AMANAH dan pernah bertanding pilihan raya atas tiket Pakatan Harapan (PH) dan kuota PKR.

Gambar pertemuan itu dimuat naik oleh pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin, yang turut hadir pada perjumpaan berkenaan. Umum tahu Nik Abduh dan Nik Omar tidak sehaluan dalam politik apabila memilih jalan dan parti bertentangan ideologi.

Salahuddin berkata, pertemuan dan program ziarah Anwar dengan keluarga Allahyaram Nik Abdul Aziz tidak perlu dijadikan kontroversi.

“Saya secara peribadi turut menziarahi bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan bekas EXCO Terengganu, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong, kelmarin. Walaupun antara kami berbeza (ideologi) politik, kami tidak akan pisahkan silaturahim,” katanya.

Loading...
Terkini