comscore
Tumpuan :
Politik

Tambah Kerusi Parlimen Ikut Populasi, Bukan ‘Seorang Satu Undi’- Abang Jo

Tan Sri Abang Johari Abang Openg (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta acara regatta Pesta Benak Sri Aman 2022 di Bandar Simanggang, Sri Aman, hari ini. – FOTO: NSTP

SRI AMAN: Nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dikekalkan melalui pengembalian 35 peratus untuk kedua-dua negeri seperti disahkan melalui Mesyuarat Khas Malaysia 1963 (MKMA63) pada Jumaat lalu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata perkara itu bagaimanapun terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan jumlah kerusi dan kawasan Parlimen kepada kedua-dua negeri berkenaan.

“Saya berharap agar penambahan kerusi Parlimen itu nanti hendaklah berpandukan kepada faktor populasi serta keluasan kawasan bukan berasaskan kepada kaedah ‘seorang satu undi’.

“Jika kaedah ‘seorang satu undi’ digunakan, maka tiada individu dari kawasan luar bandar Sarawak dapat menjadi wakil di Parlimen.

“Sehubungan itu, kita kata (cadang) akan gunakan asas yang sudah diterima oleh demokrasi yang besar, iaitu populasi serta keluasan kawasan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pesta Benak Sri Aman 2022, di sini hari ini.

Katanya, jumlah kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak berkurangan daripada 35 peratus apabila Singapura meninggalkan Persekutuan Malaysia pada 1965.

“Kalau kita hendak mengekalkan semangat MA63, maka satu pertiga daripada jumlah keseluruhan Ahli Parlimen Malaysia mestilah diwakili oleh Sabah dan Sarawak dengan baki dua pertiga lagi dari Semenanjung.

“Sebab itulah kita ambil angka 35 peratus agar kita dapat melindungi hak kita yang sudah termaktub dalam Perlembagaan sebelum ini daripada digubal oleh mana-mana kerajaan Pusat akan datang,” katanya.

Abang Johari menambah, pengembalian semula 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah tidak mungkin dapat dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini