comscore
Tumpuan :
Politik

Tan Lian Hoe didakwa cetus punca persepsi buruk kepada calon luar di Parlimen Gerik

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga calon BN kerusi Parlimen Gerik, bersama Ketua Wanita UMNO Bahagian Gerik yang juga calon BN kerusi DUN Temengor, Salbiah Mohamed beramah mesra dengan rakyat Gerik ketika berkempen dalam sesi Walkabout di Pasar Awam Gerik, di sini, hari ini.

GERIK: Tan Lian Hoe yang digelar Ahli Parlimen ‘Touch n Go’ (sentuh dan pergi) oleh beberapa pemimpin UMNO, didakwa menjadi punca mengapa ada ahli UMNO Bahagian Gerik ‘fobia’ apabila calon luar diumumkan untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

Lian Hoe adalah Ketua Wanita GERAKAN dan pernah menjadi penyandang kerusi Parlimen Gerik untuk tempoh sepenggal sahaja setelah menang Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Ketika itu, GERAKAN adalah sebahagian parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) tetapi kini bersama Perikatan Nasional (PN).

Calon BN Parlimen Gerik, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Lian Hoe adalah penyebab sehingga ada ahli UMNO bahagian ini ‘fobia’ dengan calon luar.

“Ini sebab Tan Lian Hoe,” katanya semalam, sebagai reaksi pertanyaan berhubung punca yang membuatkan ada akar umbi UMNO dan masyarakat menolak kehadiran orang luar sebagai calon kerusi Parlimen Gerik.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Gerik, Salbiah Mohamed, turut memberikan jawapan sama ketika diajukan soalan sama.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Temenggor, Salbiah Mohamed secara spontan menggelarkan Lian Hoe sebagai ‘Touch n Go’.

“Dia cuma sentuh (jadi Ahli Parlimen Gerik) dan pergi (tak kembali),” katanya.

Boleh dilihat satu video tular membabitkan kekecohan susulan UMNO Bahagian Gerik membantah pencalonan Asyraf Wajdi berserta kain rentang tertulis ‘menolak calon luar’, di samping menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pucuk pimpinan tertinggi UMNO.

Pencalonan sekali lagi calon bukan anak tempatan membuatkan mereka tidak berpuas hati lantas menolak calon luar daripada parti itu, untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

Kerusi Parlimen Gerik pernah mencetuskan ‘drama’ pada PRU-12.

Ia selepas UMNO menyuarakan hasrat bertanding di Bukit Gantang, manakala Lian Hoe pula ingin bertanding di kawasan Taiping. Namun Tan Sri M Kayveas tegaskan ingin kekal di Taiping.

Akhirnya Lian Hoe dipelawa untuk bertanding kerusi Parlimen Lenggong oleh UMNO Perak, yang mana kawasan itu kebanyakan pengundinya orang Melayu. Lain pula jadinya pada hari kemudian apabila UMNO berubah fikiran dan ‘meminjamkan’ kerusi Parlimen Gerik kepada Lian Hoe. Kawasan itu kebanyakan pengundinya adalah orang Melayu.

Pada PRU-12, beliau menang dengan memperoleh undi sebanyak 12,526 selepas menewaskan lawannya daripada PAS.

Sebelum bergelar Ahli Parlimen Gerik, Lian Hoe adalah penyandang kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Pada PRU-13, Lian Hoe tidak kekalkan kerusi Parlimen Gerik sebaliknya kawasan itu kembali semula ke pangkuan UMNO yang meletakkan calonnya, Datuk Hasbullah Osman dan berjaya menang kawasan berkenaan sehingga PRU-14. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini