comscore
Tumpuan :
Politik

Terima kasih pengundi Padang Serai- Azman Nasrudin

Oleh: Kumaran Rajamoney

KULIM: Calon Perikatan Nasional (PN) Padang Serai bersyukur dipilih untuk mewakili the penduduk di situ apabila memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) kerusi Parlimen Padang Serai.

Menganggap ianya sebagai kemenangan yang tertangguh, Datuk Azman Nasrudin menyifatkan kemenangan dengan majoriti yang besar adalah penterjemahan sokongan rakyat dalam memastikan suara pengundi Padang Serai diangkat meskipun atas kapasiti pembangkang.

“Saya beraspirasi untuk bersama-sama dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepimpinan PN dan wakil rakyat lain yang telah dipilih oleh rakyat pada PRU-15. Kami akan menjadi pembangkang yang berwibawa dan memantau tindak-tanduk kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).”

“Saya juga akan membawa aspirasi suara warga Padang Serai di parlimen kelak dan memastikan yang suara dan hak warganya akan sentiasa terjamin,” katanya.

Berhadapan serangan parti lawan dengan naratif pengkhianat dan “katak politik”, Datuk Nasrudin berkata keputusan hari ini sebagai bukti pengundi menafikan dakwaan sedemikian.

“Ia juga adalah satu signal yang jelas bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berhati-hati kerana rakyat sentiasa menghakimi keputusan yang dibuat oleh beliau.”

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada jentera PN di setiap peringkat yang telah membantu kemenangannya.

Kemenangan beliau diumumkan Pegawai Pengurus PRU Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah.

Datuk Azman yang berhadapan pertembungan enam penjuru memperoleh 51,637 undi meninggalkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak (35,377 undi) dengan majoriti 16,260 undi.

Semua calon lain hilang deposit dengan jumlah undi calon BN, Datuk Sivaraj Chandran (2,983 undi) , calon PEJUANG- Hamzah Abdul Rahman (424 undi), WARISAN – Mohd Bakhri Hashim (149 undi) dan Bebas- Sreanandha Rao (846 undi).

Parlimen Padang Serai menghimpunkan 132, 955 pengundi berdaftar dengan peratusan keluar mengundi pada PRU-15 sebanyak 68.9 peratus.

Loading...
Terkini