comscore
Tumpuan :
Politik

Terlalu awal untuk nilai pembentukan kerajaan PH-BN – Asyraf Wajdi

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan terhadap kedudukan kerajaan gabungan pelbagai parti politik berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan adalah lebih baik semua pihak fokus kepada usaha mengembalikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Katanya, antara isu perlu diberi tumpuan adalah perkara dalam menghadapi isu kos sara hidup dan hambatan ekonomi yang menjadi keresahan rakyat.

“Masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan terhadap kedudukan kerajaan gabungan pelbagai parti politik disertai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dibentuk atas saranan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Pembentukan kerajaan itu atas titah baginda yang mahu melihat kestabilan dapat diwujudkan, apatah lagi bagi orang Melayu yang selama ini cukup fobia dengan DAP yang ditanam minda mereka sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai UMNO selama 22 tahun dengan pelbagai doktrin anti-Islam, chauvinis Cina, anti-Melayu dan lain-lain,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas keputusan PRU-15 Parlimen Padang Serai yang disifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tanda positif sokongan padu rakyat kepada PN dan menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN dan PH.

Muhyiddin juga mendakwa PH dan BN melakukan ‘penipuan pilihan raya terbesar’ pada PRU-15.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO memilih untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong kerana UMNO dapat memahami kebijaksanaan Majlis Raja-Raja yang tidak mahu negara berdepan situasi kesenjangan politik berterusan dan polarisasi kaum yang memudaratkan jangka panjang.

“UMNO dan BN bersetuju bahkan meletakkan syarat jelas dalam dokumen perjanjian gabungan ini dengan tegas mempertahankan prinsip perjuangan untuk terus memelihara Islam, kepentingan Melayu-Bumiputera, institusi raja Melayu dan bahasa Melayu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Asyraf Wajdi berkata, hakikatnya keputusan PRU-15 lalu jelas memperlihatkan negara berada di persimpangan.

“UMNO sebagai parti yang sentiasa berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan progresif dalam mempertahankan agenda Islam, Melayu-Bumiputera, raja Melayu dan bahasa Melayu mesti membuat pilihan.

“Apakah Malaysia akan meleburkan identiti kemajmukan dengan bergerak ke arah ‘Melayu-Centric’ ataupun kembali kepada realiti negara berbilang kaum dan agama, namun akar tunjangnya masih berpaksikan Islam dan Melayu-Bumiputera.

“Sekiranya ini berjaya, saya yakin sokongan rakyat akan kembali kerana yang diutamakan ialah pencapaian bukannya berterusan dengan retorik politik yang tiada kesudahan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini