comscore
Tumpuan :
Politik

Tiada agenda desak Zahid letak jawatan

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR: Tiada agenda singkir Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan perkara itu dan menjelaskan mesyuarat MKT itu hanyalah untuk meneliti tawaran dan syarat dikemukakan bagi pembentukan kerajaan perpaduan seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak ada agenda untuk desak Presiden letak jawatan,” katanya di sini, malam ini.

Semalam Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata Ahmad Zahid mesti mendengar luahan dan pandangan pemimpin serta ahli akar umbi yang mendesak beliau untuk berundur daripada parti.

Perdana Menteri berkata Ahmad Zahid tidak wajar menutup telinga, tanpa memberi sebarang kata putus terhadap desakan kepadanya.

“Presiden kena dengar pandangan daripada semua. Bila Ketua Bahagian UMNO buat kenyataan, beberapa pihak buat kenyataan. Saya harap Presiden UMNO buat pertimbangan sewajarnya. Jangan menutup telinga untuk tidak mendengar langsung pandangan.

“Mungkin untuk kebaikan parti, presiden mesti memikirkan masa depan parti, sama ada perlu kekal kerana dia menang pemilihan dan tak boleh dipecat begitu saja. Presiden kalau mahu dipecat mesti dua pertiga ahli panggil mesyuarat agung luar biasa untuk pecat presiden.

“Tapi presiden juga boleh menarik diri atau berhenti. Itu kuasa yang diberikan Perlembagaan (parti). Presiden perlu memikirkan demi masa depan parti dan jangan menutup telinga (desakan) Ketua Bahagian UMNO, pemuda. Setiap hari kita dengar macam-macam desakan,” katanya.

Kelmarin, ramai pemimpin UMNO dan ahli akar umbi parti mendesak supaya Ahmad Zahid berundur daripada jawatannya, selepas Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh kemenangan bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Loading...
Terkini