comscore
Tumpuan :
Politik

Tiada yang ‘luar biasa’, Muhyiddin sendiri pernah ajak rakyat sokong DAP – Sheikh Umar

SHAH ALAM : Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menyifatkan gesaan supaya  ahli UMNO menyokong DAP pada Pilihan Raya Negeri akan datang, sebagai janggal dan luar biasa.

Menurut Sheikh Umar, meskipun Muhyiddin merasa ‘agak luar biasa’ mengenai perkara itu, namun ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang ganjil bagi dirinya sendiri.

Ini kerana sebelum ini, katanya, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah mengajak rakyat menyokong DAP.

“Ini kerana, beliau sendiri pernah berkempen agar menyokong DAP. Dalam satu ucapan pada Januari 2018, beliau pernah memberitahu prinsip PPBM, siapa bertanding atas Pakatan Harapan, DAP, Amanah atau Keadilan, kita sokong 100 peratus.

“Pada ketika itu beliau begitu yakin, setelah terbuang dari UMNO, PPBM dan Pakatan Harapan telah menjalin berkerjasama. Hasilnya, Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Tambah Sheikh Umar Bagharib, kali ini gabungan 19 parti telah bermuafakat untuk merealisasikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk pasca PRU15.

“Justeru, seruan untuk mengukuhkan kerajaan ini adalah penting bagi memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi Malaysia. Ia termasuklah dalam berdepan Pilihan Raya Negeri yang akan datang.

“Jadi walaupun Muhyiddin rasa ‘luar biasa’, ia bukanlah batu penghalang untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan menerokai naratif baharu politik rentas parti bagi mengekalkan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan hari ini,” jelasnya.

Media melaporkan Muhyiddin berkata gesaan agar ahli UMNO menyokong DAP pada  PRN di enam negeri akan datang sebagai sesuatu yang janggal selain bertentangan dengan dasar parti.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, Sabtu lalu.

Loading...
Terkini