comscore
Tumpuan :
Politik

Timbalan Pengerusi UMNO Kedah letak jawatan, desak Zahid berundur

FOTO: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah, Datuk Othman Aziz

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah, Datuk Othman Aziz mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan selepas parti itu kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jelasnya, kekalahan itu adalah mesej jelas penolakan orang Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Lebih baik UMNO dipimpin oleh orang lain yang mempunyai corak pemikiran yang boleh terus menggerakan parti. Jangan sukarkan lagi UMNO,” katanya.

Serentak itu, Datuk Othman turut mengumumkan peletakkan jawatan dalam UMNO Kedah, selain menyarankan Datuk Jamil Khir Baharom mengambil langkah sama dengan meletakkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Tindakan itu katanya adalah tanggungjawab moral yang membolehkan barisan kepimpinan yang baharu dan segar dibentuk.

“UMNO Kedah ada ramai kepimpinan yang berbakat. Jangan kita dibayangi bahawa hanya kita boleh membawa menjayakan agenda parti.”

“Beliau (Jamil Khir) boleh kekal sebagai Ketua Bahagian kerana ia dilakukan secara pemilihan. Namun, jawatan Pengerusi UMNO negeri adalah lantikan yang boleh dilepaskan,” katanya.

Datuk Othman bagaimanapun mengakui desakan itu sewajarnya dibuat lebih awal.

“Saya akui tindakan ini sudah terlewat. Walaupun nasi sudah menjadi bubur namun kita tidak boleh terus berdiam. Langkah perlu disusun bagi memastikan UMNO terus releven, maka tindakan ini adalah yang terbaik.”

Loading...
Terkini