comscore
Tumpuan :
Politik

Tindakan kurang matang, tiga papan iklan gergasi calon BN Alor Gajah disembur cat

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Kempen Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berbaki tidak sampai sehari lagi telah dicemari tindakan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan merosakkan papan iklan gergasi calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan.

Wakil Briged Gempur BN Machap Jaya, Mohd Ghazali Baharuddin berkata, sekurang-kurangnya tiga papan iklan gergasi disembur cat hitam dan hijau di tiga lokasi berbeza yang dikesan awal pagi tadi.

Beliau berkata, ada papan iklan turut diconteng dengan perkataan ‘loser’ bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kepada calon.

“Kami tidak tahu siapa melakukannya tetapi tindakan ini seolah-olah mahu menjejaskan reputasi calon dan tindakan ini kurang matang sama sekali.

“Setelah menerima maklumat daripada jentera parti sekitar jam 8 pagi tadi, kami terus mengadakan rondaan dan mendapati tiga lokasi papan iklan iaitu di Taman Manggis, persimpangan Bukit Bulat dan persimpangan Ayer Pasir telah diconteng.

“Sebelum ini ada juga papan iklan yang dijatuhkan tapi kami hanya menganggap itu mungkin disebabkan fenomena alam dan kami membaikinya semula tapi kali ini mungkin mereka tidak puas hati mereka menyemburnya pula dengan cat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Persimpangan Kampung Ayer Pasir, di Alor Gajah di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penerangan BN Machap Jaya, Nizam Baharom.

Susulan itu katanya, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah agar siasatan dapat dijalankan terhadap perbuatan khianat itu.

“Kami membuat laporan polis pada jam 11 pagi bagi memastikan siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya dijalankan.

“Kami difahamkan pihak polis telah pergi ke lokasi papan iklan terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya.

Loading...
Terkini